Pengarah Pendidikan Lakukan Kunjung Hormat Kepada YB Senator Datuk Bashir

Encik Yusup menyampaikan cenderamata kepada YB Datuk Bashir

Labuan, 9 Sept – Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah mengadakan kunjungan hormat kepada Ahli Dewan Negara, YB Senator Datuk Haji Bashir bin Haji Alias, di pejabatnya di Tingkat 4, Wisma Perbadanan hari ini. Kunjung hormat ini bersempena pelantikan Encik Yusup bin Haji Mohamad sebagai Pengarah Pendidikan yang baharu berkuat kuasa 1 Mac yang lalu.

Rombongan dari Jabatan Pendidikan seramai 4 orang turut disertai oleh Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Perancangan Encik Mohd Nizam bin Yasim, Timbalan Pengarah, Sektor Pengurusan Sekolah Puan Maimoon binti Haji Matnoh dan Ketua Penolong Pengarah, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Encik Awang Marten bin Datuk Haji Abdul Rahman.

Dalam pertemuan itu, Encik Yusup Mohamad telah menerangkan hal-hal berkaitan kesediaan pengoperasian semula  sekolah yang dijangkakan bermula pada 4 Oktober 2021. Menurut beliau, setakat ini semua sekolah telah bersedia untuk beroperasi selaras dengan pengistiharan Labuan telah memasuki Fasa 4 dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Selain itu, beliau turut memaklumkan beberapa projek pembangunan baharu termasuk pembinaan Kolej Tingkatan 6 dan pembinaan satu blok gantian yang mengandungi 12 bilik darjah di SMK Labuan.

Terdahulu, YB Senator Datuk Haji Bashir mengucapkan tahniah kepada Encik Yusup kerana telah dilantik menerajui Jabatan Pendidikan W. P. Labuan. Beliau turut melahirkan rasa bangga atas pelantikan anak tempatan menerajui agensi kerajaan yang terbesar di pulau ini.

“Jika terdapat isu-isu berbangkit berkaitan hal-hal pendidikan, pihak saya sedia membantu terutamanya dalam meningkatkan kualiti pendidikan di wilayah ini” ujar beliau.

Di akhir majlis, Encik Yusup menyampaikan cenderamata daripada Jabatan Pendidikan W.P Labuan kepada Datuk Bashir sebagai tanda kenangan.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Loading

image_pdfimage_print