Sesi Perjumpaan Pengarah Pendidikan Bersama Guru Bimbingan dan Kaunseling Bantu Murid-Murid Terkesan Covid-19

Encik Yusup mempengerusikan perjumpaan bersama Guru Bimbingan Kaunseling

Labuan, 13 Sept – Sektor Pembangunan Murid (SPM), Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah menganjurkan pertemuan bersama 26 Guru Bimbingan Kaunseling (GBK) dari semua sekolah seluruh Labuan pada Jumaat lalu.

Perjumpaan di Bilik Kiamsam, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan itu telah dipengerusikan oleh Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad.

Menurut penyelaras, Puan Saadiah Jakob yang juga Penolong Pengarah Unit Binbingan dan Kaunseling, perjumpaan ini adalah susulan daripada dua sesi pertemuan maya antara Pengarah bersama murid-murid Tingkatan 5 dan pelajar-pelajar Tingkatan 6 pada bulan lalu.

“Antara dapatan penting yang diperolehi daripada pertemuan tersebut ialah hal berkaitan emosi murid kesan daripada PdPR yang telah berlangsung dalam jangkamasa yang agak panjang” kata beliau lagi.

Dalam ucapan, Encik Yusup mengucapkan tahniah kepada GBK W.P. Labuan kerana telah berjaya membuat bimbingan dan sesi kaunseling paling tinggi di peringkat kebangsaan sepanjang tempoh pandemik ini.

“Saya berharap GBK dapat mengambil inisiatif dan peranan proaktif dalam menangani emosi dan kebajikan anak-anak yang telah kehilangan ibu atau bapa kerana Covid-19 terutama daripada golongan keluarga B40”

“Kita perlu memastikan murid-murid yang terkesan ini dibantu untuk terus berada di dalam sistem pendidikan” tegas beliau lagi.

Menurut Encik Yusup lagi, motivasi calon-calon SPM juga perlu berada pada tahap tinggi untuk terus mengikuti PdPR dan bersedia untuk menghadapi peperiksaan terutamanya murid-murid yang berprestasi rendah dan sederhana.

Selain itu GBK juga perlu membantu murid-murid meneroka peluang-peluang dalam menentukan hala tuju yang jelas selepas alam persekolahan.

Guru Bimbingan Kaunseling yang hadir perjumpaan bersama Pengarah

Dalam pertemuan ini, data dan maklumat berkaitan kehadiran murid dalam PdPR turut dibentang oleh Puan Siow May Yun, Penolong Pengarah di Sektor Pembelajaran.

Di akhir sesi pertemuan, Encik Yusup sempat berinteraksi secara dua hala bersama dengan GBK dalam menangani  beberapa isu berkaitan perkhidmatan GBK di sekolah.

Turut hadir dalam sesi pertemuan ialah Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon binti Matnoh, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim dan Kaunselor Pendidikan Negeri, Encik Sabdin bin Japaruddin.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Loading

image_pdfimage_print