Majlis Sambutan Ambang Hari Malaysia 2021 SMK Pantai IBWS

Norazita binti Md Nor @ Shamsuri, Pengetua SMK Pantai IBSW menyampaikan ucapan perasmian dalam Majlis Sambutan Ambang Hari Malaysia 2021.

Labuan, 10 Sept 2021 – SMK Pantai IBWS Wilayah Persekutuan Labuan telah mengadakan Majlis Sambutan Ambang Hari Malaysia 2021 secara dalam talian dengan menggunakan aplikasi Google Meet dan Facebook. Majlis tersebut melibatkan warga sekolah yang terdiri daripada murid-murid, guru-guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP) dan pekerja swasta . Turut hadir dalam majlis tersebut ialah para ibu bapa. Majlis yang ringkas tetapi meriah itu dapat disaksikan melalui Facebook secara langsung oleh orang ramai.

Objektif majlis tersebut diadakan adalah untuk meningkatkan kesedaran warga sekolah tentang erti kemerdekaan. Selain itu, memupuk semangat patriotisme yang tinggi. Seterusnya, memberi peluang kepada murid dan guru untuk mengasah kreativiti dan bakat dalam pertandingan yang dijalankan. Akhir sekali, mewujudkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga sekolah dan saling bekerjasama.

Terdahulu majlis pada pagi itu dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Wilayah dan lagu SMK Pantai IBWS. Manakala, bacaan doa di bawah pimpinan Encik Mohamad Faisal bin Aminaldun. Majlis Sambutan Ambang Hari Malaysia 2021 dirasmikan oleh Puan Norazita binti Md. Nor @ Shamsuri, Pengetua SMK Pantai IBWS. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah kepada para peserta pertandingan yang terdiri daripada murid-murid dan guru-guru kerana dapat merealisasikan bulan kemerdekaan dengan menyertai aktiviti yang dianjurkan. Beliau juga merakamkan ucapan tahniah kepada Jawatankuasa Ambang Hari Malaysia 2021 atas penganjuran majlis tersebut.

Majlis Sambutan Ambang Hari Malaysia 2021 diadakan melalui medium Google Meet.

“ Sempena sambutan hari kemerdekaan Malaysia ke-64 bagi tahun 2021 ini, kita seharusnya mengambil peluang dan ruang bersama-sama bagi menghayati erti sebenar kemerdekaan kerana apabila kita menjiwai makna sebenar kemerdekaan maka akan menaikkan lagi semangat patriotisme cinta akan tanah air dalam diri sendiri “. Ujarnya.

Beliau juga turut meletakkan harapan agar murid-murid SMK Pantai IBWS mengekalkan ciri-ciri warganegara yang baik, berakhlak mulia, berdisiplin dan saling menghormati antara satu sama lain. Selain itu, beliau turut menzahirkan harapan kepada semua warga pendidik agar mengorak langkah sederap bersama-sama membangunkan modal insan berlandaskan kejayaan generasi terdahulu dalam memperjuangkan dan memperkukuh nilai kemerdekaan tanah air, Malaysia.

Sebanyak tujuh aktiviti telah dipertandingkan untuk disertai oleh murid-murid, guru-guru dan AKP iaitu pertandingan kuiz dalam talian, mereka cipta kad ucapan, nyanyian lagu patriotik dan melukis poster kemerdekaan yang terbuka kepada murid-murid sahaja. Manakala, pertandingan swafoto kemerdekaan, busana kemerdekaan dan deklamasi sajak terbuka kepada murid-murid dan guru-guru. Seterusnya, majlis turut dimeriahkan dengan persembahan deklamasi sajak oleh johan pertandingan bagi setiap kategori. Di samping itu, majlis diserikan lagi dengan nyanyian lagu berunsurkan patriotik oleh para pemenang pertandingan tersebut.

Kemuncak majlis ialah penyampaian sijil secara maya oleh pengetua kepada para pemenang dan peserta pertandingan. Majlis diakhiri dengan nyanyian lagu-lagu patriotik dan sesi bergambar sebagai kenang-kenangan. Sesungguhnya, Majlis Sambutan Ambang Hari Malaysia 2021 mengikut norma baharu kerana diadakan secara maya sebagai langkah berjaga-jaga mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Antara hasil karya peserta pertandingan (kanan) dan sijil penyertaan (kiri)
Andre Dian Semond (peserta pertandingan lagu patriotik) pemenang sagu hati dan menjadi peserta kegemaran penonton kerana kreatif dalam membuat persembahan.

Berita Oleh : SMK Pantai IBWS

Loading

image_pdfimage_print