SMK Mutiara Menyantuni Warga Emas Dalam Kalangan Veteran ATM

Encik Yahya menyerahkan sumbangan wang tunai untuk Tabung Pahlawan kepada Bolkiah sambil diperhatikan oleh Tuan Haji Hamir dan Puan Norhani

Labuan, 6 Okt – Dasar Warga Emas Negara (DWEN) yang telah digubal oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah diluluskan pelaksanaannya dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Januari 2011, manakala tarikh 1 Oktober adalah tarikh keramat bagi semua warga emas kerana ianya disambut dan diraikan di seluruh dunia.

Bagi menghargai dan memupuk nilai kasih sayang terhadap warga emas terutamanya dalam kalangan veteran Angkatan Tentera Malaysia, SMK Mutiara di bawah kelolaan Penolong Kanan Pentadbiran serta Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Mutiara telah menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Mutiara, Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Wilayah Persekutuan Labuan, Pusat Pungutan Zakat WP Labuan, Majlis Penasihat Perbadanan Labuan dan Persatuan Anak Muda Labuan (PAMULA) untuk melaksanakan Ziarah Kasih Perwira Negara pada 1 Oktober 2021 sempena Hari Warga Emas Sedunia yang disambut secara sederhana dalam norma baharu.

Program tahunan SMK Mutiara yang unik ini mula diadakan pada tahun 2020 bagi menyantuni warga emas dalam kalangan veteran Angkatan Tentera Malaysia yang menderita sakit dan terkesan dengan pandemik COVID-19.

Salah seorang veteran yang uzur menerima kunjungan konvoi Ziarah Kasih Perwira Negara

Pihak sekolah telah mengumpul dana dalam kalangan warganya dan orang perseorangan untuk menyediakan bakul makanan serta wang tunai untuk disumbangkan kepada 16 orang veteran ATM di sekitar Labuan. PVATM turut menyumbang bakul makanan sebagai tambahan kepada bakul makanan sedia ada.

Pengetua SMK Mutiara Encik Yahya Ahmad Puteh mengucapkan ribuan terima kasih kepada Puan Norhani Jaafar selaku pemangku Yang Dipertua PIBG SMK Mutiara, Encik Bolkiah Aziz selaku pemangku Ketua Cawangan PVATM, Encik Nazri Panjang Abdullah selaku Setiausaha PVATM, Tuan Haji Hamir Zahari selaku Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan dan Encik Abdul Hafiez Sulaiman selaku Timbalan Setiausaha PAMULA atas kesudian mereka untuk turut serta dalam Ziarah Kasih Perwira Negara dan menyantuni veteran ATM.

Beliau turut berkongsi rasa syukur dan bangga kerana SMK Mutiara baru sahaja dianugerahkan Pengurusan Pelibatan Ibu Bapa dan Komuniti / Swasta (PIBKS) Cemerlang 2020-2021. Malah beliau sendiri turut dinobatkan selaku Tokoh Pengetua Inspirasi PIBKS 2020-2021. Momentum kejayaan berganda yang masih segar ini telah diteruskan dengan program kemasyarakatan yang bermakna dan berimpak tinggi. Beliau mahu program ini diteruskan di masa hadapan dengan pelibatan lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan.

Salah seorang veteran, Encik Tan Kim Teck yang menetap di Jalan Arsat, Kampung Batu Arang telah menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kerana masih ada lagi golongan yang sudi menziarahi dan menyantuni mereka di usia emas begini sambil menghulurkan bantuan berupa wang tunai dan bakul makanan yang berisi keperluan harian kepada para veteran yang memerlukan.

Beliau yang menderita sakit kaki dan tidak mampu berdiri lama apatah lagi berjalan jauh turut berkongsi pengalaman pahit manis beliau semasa berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia. Beliau pernah mengikuti satu ‘eksesais’ di mana mereka perlu berjalan kaki dari Menumbok ke Beaufort dan seterusnya ke Lok Kawi sebelum berakhir di Kota Belud, Sabah untuk menyertai latihan menembak. Beliau tidak pernah menyesal malah berbangga kerana berpeluang menyarung pakaian seragam tentera dan mencurahkan khidmat bakti kepada negara tercinta.

Menyantuni anggota ATM yang menderita sakit
Encik Salleh Mohd Nor berasa teruja dan bersyukur kerana menerima kunjungan dan sumbangan bakul makanan.

Semua peserta Ziarah Kasih Perwira Negara telah diberi taklimat mengenai perjalanan program oleh Encik Hisham Abdul Aziz yang bertindak selaku penyelaras.

Mereka kemudiannya mengabadikan gambar kenang-kenangan di struktur ikonik SMK Mutiara sebelum konvoi dilepaskan oleh Tuan Pengetua untuk menghantar bantuan dan menyantuni 16 orang veteran ATM pada pukul 8:45 pagi.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Ahli bersekutu 3Y dan para tetamu mengabadikan kenangan di struktur ikonik ‘WE LOVE MUTIARA’
Berkongsi rezeki dengan mereka yang lebih memerlukan
Para peserta mengabadikan kenangan di luar rumah salah seorang veteran ATM

Loading

image_pdfimage_print