Jabatan Pendidikan W.P Labuan adakan lawatan ke Kolej Vokasional Labuan

Puan Siti Musleeha menyampaiakan cenderamata kepada Encik Yusup

Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah mengambil inisiatif mengerat silaturrahim dengar warga Kolej Vokasional Labuan dengan mengadakan lawatan rasmi ke kolej itu pada Isnin.

Rombongan seramai 40 orang termasuk Pengetua dan Guru Besar sekolah-sekolah di Labuan telah diketuai oleh Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad.

Kehadiran delegasi telah disambut oleh Pengarah Kolej Vokasional Labuan, Puan Siti Musleeha binti Leeudin bersama warga kolej yang lain.

Sesi lawatan bermula seawal jam 6.30 pagi dengan meninjau pergerakan pelajar-pelajar dari asrama ke dewan makan selaras dengan norma baharu menangani penularan Covid-19.

Seterusnya, delegasi lawatan dibahagikan kepada dua kumpulan dan dibawa melawat bengkel-bengkel pembelajaran.

Antaranya ialah bengkel automotif, bengkel kimpalan, bengkel pemesinan dan bengkel pembinaan.

Selain itu delegasi juga turut melawat bengkel elektrik, bengkel elektronik dan blok-blok akademik.

Rombongan jabatan diketuai oleh Encik Yusup ketika melawat bengkel-bengkel Kolej Vokasional

Di akhir sesi lawatan, semua ahli rombongan telah diberi taklimat berkaitan kaedah pembelajaran dan program-program yang ditawarkan di Kolej Vokasional.

Taklimat telah disampaikan oleh Pengarah Kolej Vokasional, Puan Siti Musleeha binti Leeudin.

Menurut beliau, terdapat 4 bidang pengajian di Kolej Vokasional Labuan iaitu Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Teknologi Kejuruteraan Awam dan Perniagaan.

“Pelajar-pelajar Kolej Vokasional dilatih untuk membekalkan tenaga kerja mahir untuk pasaran industri dengan berbekalkan SKM 3. Namun begitu, pelajar-pelajar yang layak boleh menyambung pelajaran ke peringkat Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM)” katanya lagi.

Dalam aspek kebolehpasaran graduan Kolej Vokasional Labuan, sekitar 75% bekerja dalam industri, 15 % menjadi usahawan dan selebihnya menyambung pelajaran di peringkat lebih tinggi.

Dalam ucapan balas, Pengarah Pendidikan W.P.Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad mengucapkan tahniah atas kesungguhan dan keupayaan warga Kolej Vokasional Labuan mendapatkan kelulusan pentauliahan pusat dan program daripada badan-badan yang mengeluarkan akreditasi.

“Kita mesti sentiasa berusaha untuk merealisasikan visi KPM terutama dalam melahirkan insan terdidik melalui pendidikan berkualiti seterusnya menyumbang kepada Kesejahteraan negara”

“Kekuatan Kolej Vokasional adalah ia mampu mengurangkan kadar keciciran bakat dan potensi dalam kalangan murid-murid. Guru-guru Kaunseling perlu menyampaikan peluang-peluang besar yang ada di Kolej Vokasional kepada murid-murid termasuk kepada Murid-murid Berkeperluan Khas (MBK)” ujar beliau lagi.

Beliau turut berharap agar jalinan kerjasama sekolah-sekolah di Labuan dengan Kolej Vokasional dapat diperkukuhkan dari semasa ke semasa.

Turut hadir dalam sesi lawatan ini ialah YDP MPSM, Encik Ismail bin Abdullah dan YDP MGB, Puan Dayang Saripah A. Mahmud.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Loading

image_pdfimage_print