Piagam Pelanggan Jabatan Pendidikan W.P Labuan Mantapkan Sistem Penyampaian

Encik Nizam bertindak sebagai moderator bengkel Piagam Pelanggan JPWPL

Labuan, 14 Okt – Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah melaksanakan bengkel pemurnian Piagam Pelanggan pada Selasa lalu di Bangunan Sektor Sumber Teknologi Pendidikan.

Bengkel yang melibatkan semua ahli pengurusan tertinggi telah dikendalikan oleh Sektor Perancangan.

Menurut Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim yang juga moderator dalam bengkel tersebut, bengkel ini bertujuan untuk memurnikan Piagam Pelanggan yang dibuat sebelum ini.

“Terdapat perubahan di dalam sistem pengoperasian dan penyampaian jabatan terutama apabila berlaku ledakan teknologi maklumat. Tambahan pula situasi Covid-19 telah banyak mengubah cara kita bekerja”

“Perkara-perkara ini kita telah ambil kira dalam pembinaan Piagam Pelanggan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan jabatan kekal relevan” kata beliau.

Bengkel sehari tersebut telah menyenaraikan 35 pernyataan yang merupakan janji perkhidmatan oleh Jabatan Pendidikan W.P Labuan kepada pelanggan-pelanggan jabatan.

Piagam jabatan telah dibahagikan kepada beberapa kategori termasuk pengurusan penempatan dan pertukaran murid, pengurusan fizikal, pengurusan sumber manusia dan pengurusan pelanggan.

Bengkel turut dihadiri oleh Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad.

Bengkel Piagam Pelanggan JPWPL diketuai oleh Encik Yusup

Ketika menyampaikan ucap utama, Encik Yusup mengharapkan agar janji-janji perkhidmatan yang ditawarkan oleh jabatan dapat disempurnakan sebaik mungkin.

“Apa yang tertulis di dalam Piagam Pelanggan merupakan janji bertulis yang perlu sentiasa dihayati dan dirujuk oleh setiap pegawai supaya perkhidmatan kita memberi impak maksimum kepada pelanggan-pelanggan jabatan” tambah beliau lagi.

Hadir sama di dalam bengkel tersebut ialah Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon binti Haji Matnoh, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Tuan Haji Abdul Rahman bin Ahmad dan pemangku Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Puan Ang Bee Uan.

Turut hadir ialah semua KPP dari sektor-sektor.

Loading

image_pdfimage_print