SSN SMK MUTIARA Membuat Kunjung Hormat Ke Jabatan Pendidikan

Encik Yusup bersama rombongan SSN SMK Mutiara yang diketuai oleh Pengetua Encik Yahya

Labuan, 15 Okt – Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah menerima kunjungan hormat dari Sekolah Sukan Negeri (SSN) SMK Mutiara hari ini di Pejabat Jabatan Pendidikan W.P Labuan hari ini.

Rombongan SMK Mutiara seramai 7 orang diketuai oleh Pengetuanya, Encik Yahya bin Ahmad Puteh. Ketibaan rombongan jam 2.45 petang telah disambut oleh Pengarah Pendidikan, Encik Yusup bin Haji Mohamad.

Dalam ucapan aluan, Encik Yusup menyatakan hasrat jabatan seiring dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memastikan murid-murid sentiasa mendapat peluang dalam pelbagai bidang termasuk bidang sukan.

“Walaupun negara masih diselubungi oleh pandemik Covid-19, namun tugas kita tidak boleh berhenti menggilap potensi dan bakat mereka dengan sebaik mungkin. Kita tidak mahu ada keciciran bakat murid” ujar beliau lagi.

Rombongan guru-guru SSN SMK Mutiara yang hadir bersama dalam kunjungan hormat ke Jabatan Pendidikan WP Labuan

Dalam ucapan balas, pengetua SMK Mutiara, Encik Yahya menyatakan semangat dan kesungguhan guru-guru untuk membangunkan potensi bakat sukan murid di Sekolah Sukan Negeri (SSN).

“Dengan komitmen guru dan sokongan JPN, saya yakin SMK Mutiara akan lebih berupaya dalam mengangkat martabat sukan di negeri ini”

“SSN juga berharap agar JPN dapat membantu menyelesaikan isu ketiadaan jurulatih sepenuh masa untuk dua jenis sukan iaitu sepak takraw dan bola jaring”

“Pihak sekolah juga telah mengambil inisiatif dengan mengadakan pemuafakatan strategik dengan agensi-agensi berkaitan termasuk Jabatan Belia dan Sukan Labuan, Majlis Sukan Labuan dan LAFA” katanya lagi.

Jurulatih bola sepak, Encik Norie Keegan turut membentangkan strategi-strategi latihan dalam membangun bakat dan potensi murid dalam permainan bola sepak.

Selain itu, jurulatih olahraga, Encik Kim Hong Chong Keat juga turut membentang perancangan pembangunan sukan olahraga di peringkat sekolah dan negeri.

Akhir majlis, Encik Yahya telah menyampaikan cenderahati kepada Pengarah Pendidikan sebagai tanda kenang-kenangan.

Turut hadir di dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim, Ketua Penolong Pengarah (KPP) Unit Bakat, Encik Samsul bin Mandisin.

Berita oleh : Sektor Perancangan

Loading

image_pdfimage_print