Anugerah Teknologi Pendidikan dan Hari Inovasi Pemangkin Warga Digital

Encik Sapri Idris daripada SMK Rancha-Rancha menerima Anugerah Tokoh Inovasi daripada Encik Yusup

Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah melaksanakan majlis Anugerah Teknologi Pendidikan (TEKNOPEN) dan Hari Inovasi Pendidikan bagi tahun 2021 secara serentak 24 November lalu.

Majlis yang diadakan di Bilik Benua, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP) telah dikelolakan secara kolaboratif antara SSTP, Sektor Pembelajaran, Sektor Pengurusan Maklumat dan Sektor Perancangan.

Menurut penyelaras majlis, Encik Awang Marten bin Haji Abdul Rahman yang juga Ketua Penolong Pengarah SSTP, majlis diadakan sebagai memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada semua warga pendidikan yang telah menyumbang daya kreatif, inovatif dan mencapai tahap yang membanggakan dalam setiap kategori yang dipertandingkan.

“Sebanyak 37 kategori dalam Anugerah TEKNOPEN dipertandingkan melibatkan warga sekolah dan warga jabatan. Penilaian adalah berdasarkan merit keberhasilan yang telah ditunjukkan oleh para penerima” kata beliau lagi.

Sementara itu, penyelaras Hari Inovasi Pendidikan (HIP) 2021, Puan Faridah Amit berkata seramai 32 pemenang daripada 12 kategori telah dipilih melalui pencalonan yang diterima.

“Pihak urusetia induk telah melantik urusetia bagi setiap kategori untuk memilih pemenang. Panel-panel penilai telah dilantik mengikut kepakaran mereka” jelas beliau.

Puan Anita mewakili cikgu Airol (SK Pekan Satu) menerima Anugerah Guru Pencipta Kandungan Digital

Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad telah hadir merasmikan majlis tersebut. Dalam ucapannya, beliau menekankan peri penting penambahbaikan berterusan dalam organisasi bagi menangani perubahan-perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan.

“Saya yakin usaha-usaha inovasi dan idea-idea kreatif telah berjaya meningkatkan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan pendidikan dan berjaya meletakkan nama Labuan sebaris dengan negeri-negeri lain”

Selain itu, beliau turut menyeru agar semua warga pendidik menguasai teknologi digital dalam pendidikan bagi mendepani dunia VUCA.

Anugerah tokoh inovasi kategori individu telah dianugerahkan kepada Encik Sapri Idris daripada SMK Rancha-Rancha.

Beliau yang juga guru pusat sumber sekolah berkenaan telah berjaya mewujudkan pusat sumber digital sesuai dengan perkembangan teknologi masa kini.

Selain itu, idea-idea kreatif dan inovasi banyak dapat dilihat melalui susun atur di dalam pusat sumber selain memperkenalkan TV Pusat Sumber Sekolah dan Radio sekolah sebagai saluran penyampaian maklumat.

Manakala Labuan Research and Innovation Society (LaRIS) telah berjaya merangkul tokoh inovasi negeri dalam kategori kumpulan/pertubuhan/program.

Persatuan yang ditubuhkan dua tahun lalu itu telah berjaya menggerakkan pelbagai aktiviti berkaitan kajian tindakan dan inovasi di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Turut hadir dalam majlis berkenaan Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim, para Pengetua, Guru Besar dan Pegawai-pegawai JPN.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Encik Mohd Nizam mewakili Sektor Perancangan menerima Anugerah Kualiti Pengurusan Program/Aktiviti

Loading

image_pdfimage_print