Pengarah Turun Padang, Kunjungi Calon SPM 2021

Encik Yusup memberi kata-kata semangat kepada calon SPM SMK TP Bedaun

Labuan : SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah menerima kunjungan daripada Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad bersama enam orang pegawai JPN pada 12 Januari 2022 (Rabu) lalu.

Program yang dikenali sebagai “Program Pengarah Turun Padang” diadakan secara bersemuka dengan 90 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Objektif utama program ini adalah untuk memberi peluang kepada calon SPM 2021 untuk mendengar amanat daripada Pengarah sebelum mereka menduduki SPM pada 02 Mac 2022 nanti.

Turut hadir bersama dalam program ini ialah YDP PIBG, Encik Peter Wong, Pengetua, Encik Ag Rozlan bin Manan, Penolong-Penolong Kanan serta guru-guru mata pelajaran SPM.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh adik Danial Hakimi bin Ramli dari kelas 5 Gamma dan diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Yahya bin Ahmad Puteh.

Encik Yahya menjelaskan bahawa program ini bertujuan untuk memberi sedikit ruang dan peluang kepada Tuan Pengarah untuk bertemu dan berbicara dengan lebih dekat lagi bersama-sama calon SPM 2021. Beliau juga memaklumkan bahawa sekolah-sekolah lain juga akan menerima kunjungan daripada Pengarah melalui program Pengarah Turun Padang sebelum menjelangnya SPM. Beliau berharap agar semua calon dapat menggunakan masa yang masih ada dengan sebaik mungkin demi mencapai kecemerlangan dalam SPM.

Encik Yahya menyampaikan ucapan alu-aluan dalam majlis Pengarah Turun Padang.

Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Pengarah Pendidikan, Encik Yusup bin Haji Mohamad.Dalam ucapannya, Encik Yusup merakamkan ucapan tahniah kepada semua calon SPM 2021 yang dapat hadir bersama-sama dalam program tersebut.

Beliau turut menjelaskan bahawa tujuan pelaksanaan program ini adalah untuk bertanyakan khabar calon SPM serta memberi inspirasi kepada semua calon untuk berdepan dengan satu cabaran yang sangat penting dalam hidup anak-anak iaitu menduduki peperiksaan SPM.

Beliau amat berharap agar semua calon SPM pada tahun ini dapat bangkit dan lebih berkeyakinan untuk mencipta kejayaan walaupun banyak cabaran yang terpaksa diharungi dari semasa ke semasa. Calon SPM 2021 dianggap istimewa kerana sejak dari tingkatan empat lagi mereka telah melalui fasa pembelajaran secara dalam talian ekoran pandemik Covid-19.

Encik Yusup turut berharap agar semua calon SPM dapat menggunakan masa yang ada dengan sebaik mungkin untuk mencipta sejarah dalam kehidupan masing-masing kerana SPM merupakan “Sijil Penentu Masa Depan” anak-anak.

Encik Yusup Haji Mohamad

Di samping berkongsi kata-kata semangat dengan calon SPM, sesi soal jawab bersama Pengarah juga diadakan. Banyak ilmu dan kata-kata semangat yang dapat diperoleh daripada sesi soal jawab tersebut. Pada akhir ucapannya, beliau berharap agar semua calon SPM akan memperoleh kejayaan yang cemerlang dan seterusnya dapat membanggakan ibu bapa serta sekolah dengan pencapaian masing-masing.

Sebelum berakhir, majlis diteruskan dengan penyampaian slip keputusan Peperiksaan Percubaan SPM kepada sembilan orang murid yang berjaya mendapat 4A, 5A, 6A, 7A dan 9A dalam peperiksaan percubaan baru-baru ini.

Selain itu, penyampaian banner “Selamat Menduduki Peperiksaan SPM 2021” daripada pihak JPN kepada pengetua sekolah juga turut diadakan diikuti dengan simbolik penyampaian Modul YaPEIM kepada wakil murid.

Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan daripada pihak sekolah kepada pihak JPN yang disampaikan oleh Pengetua, Encik Ag Rozlan kepada Encik Yusup.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Encik Yusuf dan pegawai-pegawai JPWPL bergambar bersama pentadbir dan YDP PIBG sekolah

Loading

image_pdfimage_print