Mengimarahkan Kekuatan Rohani Murid : SMK Mutiara Anjur Program Solat Hajat Dan Restu Ilmu Peringkat Sekolah Sebagai Persediaan Terakhir Calon SPM 2021

14 Februari 2022, Labuan Sebagai satu usaha untuk menyediakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada segi emosi, rohani dan intelektual sebelum menduduki peperiksaan sebenar yang akan bermula pada 2 Mac 2022,  Program Solat Hajat dan Restu Ilmu telah diadakan bertempat di Dataran Perhimpunan SMK Mutiara. Program ini diadakan mengikut norma baharu ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara tanpa dihadiri oleh ibu bapa dan penjaga murid.

Program yang telah dianjurkan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling (UBK) bersama Panitia Pendidikan Islam SMK Mutiara ini bermatlamat melahirkan murid yang berbudi luhur, berketrampilan, berdaya saing dan cemerlang dalam membentuk sahsiah peribadi yang seimbang antara akhlak dan pencapaian akademik. Memupuk sikap hormat-menghormati, nilai budi serta sikap menghargai ibu bapa dan guru secara tidak langsung dapat menyemai perasaan menghargai, bersyukur dan berterima kasih murid kepada ibu bapa, guru dan pihak sekolah.

Hadir selaku tetamu jemputan dalam majlis ini ialah En. Yahya bin Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan WP Labuan dan Ustaz Sahrom bin Samlan, Penolong Pengarah Unit Pembangunan Adab dan Nilai Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Majlis dimulakan dengan solat sunat hajat berjemaah yang dipimpin oleh adik Muhammad Nur Iman bin Afandi daripada tingkatan 5 Ibnu Sina (IBS). Acara diteruskan lagi dengan bacaan doa-doa yang diketuai oleh adik Muhammad Mifzal bin Mohd Rapi yang juga daripada tingkatan 5 Ibnu Sina (IBS). Doa yang dipanjatkan ini dengan penuh pengharapan agar diberikan kemudahan, ketenangan, kelancaran semasa peperiksaan dan memperoleh keputusan yang cemerlang kepada semua calon yang bakal menempuhi peperiksaan SPM yang bakal dihadapi tidak lama lagi.

Solat Sunat Hajat secara berjemaah yang diimamkan oleh wakil murid Tingkatan 5 iaitu adik Muhammad Nur Iman bin Afandi manakala bacaan doa pula telah dipimpin oleh adik Muhammad Mifzal bin Mohd Rapi.

“Persiapan bagi menghadapi peperiksaan memerlukan persiapan yang rapi. Fokus kepada persediaan anda untuk berjuang mencapai kecemerlangan dan kejayaan demi menyambung keiltizaman sekolah dan harapan keluarga. Orang yang berjaya akan menunjukkan hasil namun orang yang gagal akan memberikan alasan”, ujar Encik Yahya bin Ahmad Puteh dalam intipati ucapan khas motivasi terakhir daripada Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran yang mewakili Encik Yusup bin Hj Mohamad, Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan . Tambah beliau lagi, peperiksaan SPM ini adalah pintu utama bagi mengukur kefahaman, penguasaan, ingatan, kemahiran, kebolehan serta penghayatan murid terhadapa sesuatu subjek yang telah dipelajari. Di samping berusaha bersungguh-sungguh semasa menuntut ilmu, seiring dengan doa dan amalan,  kita seharusnya menyerahkan segala ketentuan kepada Yang Maha Esa ujar beliau lagi.

Ucapan terima kasih dan tahniah kepada semua guru SMK Mutiara turut diucapkan diatas segala kerja keras warga guru yang tidak pernah lelah dalam membantu meningkatkan pencapaian murid. “ Saya yakin guru-guru yang hebat dan berpengalaman yang berada di SMK Mutiara ini menjadi nadi penggerak dalam mencipta sebuah sejarah kejayaan sekolah”, kata Encik Yahya bin Ahmad Puteh dalam suntikan semangat dan motivasi ini.

“Selain itu, saya juga ingin menekankan agar semua murid yang akan menduduki peperiksaan SPM untuk kekal patuh dan terus membudayakan kepentingan SOP di sekolah di dalam tempoh yang mencabar ini bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku yang akan menghalang murid untuk menduduki peperiksaan ini nanti”, tambah beliau lagi.

“Hubungan silaturrahim di antara warga guru dan murid dapat dieratkan diantara  khususnya sewaktu program dijalankan. Semoga majlis yang mulia ini memperoleh keberkatan menjelang peperiksaan yang bakal tiba. Tahniah kepada Unit Bimbingan dan Kaunseling bersama-sama Panitia Pendidikan Islam dan kesemua pihak iaitu murid, guru serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang telah terlibat dalam menjayakan program kerohanian seperti ini”, kata Pengetua SMK Mutiara, Encik Ag. Rozlan bin Manan. Tambahnya lagi, selain daripada usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak sekolah ini, doa yang dipohon hendaklah seiring dengan usaha murid itu sendiri daripada aspek persediaan intelektual.

Majlis diteruskan dengan bacaan ikrar pelajar yang dipimpin oleh adik Muhammad Nurasliman bin Asmauwi daripada tingkatan 5 Hibiscus (HBS).  Bacaan ikrar yang penuh iltizam ini dapat membangkitkan semangat murid dalam menjaga nama baik dan imej sekolah serta berusaha mencapai kejayaan cemerlang. Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan dan hadiah kepada kesemua murid yang hadir dalam majlis ini yang telah disumbangkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Mutiara.  Diharapkan semua calon yang bakal menempuhi peperiksaan SPM ini diberikan kemudahan dan memperoleh keputusan yang cemerlang.

Bacaan ikrar oleh kesemua murid Tingkatan 5 yang telah dipimpin oleh wakil murid iaitu adik Muhammad Nurasliman bin Asmauwi sebagai perjanjian dan semangat dalam persediaan menghadapi peperiksaan SPM yang akan tiba.
En. Yahya bin Ahmad Puteh, selaku Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan WP Labuan turut bersama-sama mengagihkan hadiah dan cenderahati yang ditaja oleh PIBG SMK Mutiara kepada semua murid Tingkatan 5 yang menghadiri majlis ini dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
Majlis Solat Hajat dan Restu Ilmu yang telah dilaksanakan masih mengekalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan melaksanakan solat hajat secara berjemaah dengan berjarak .

Loading

image_pdfimage_print