Majlis Mohon Restu Ilmu Calon SPM 2021 SMK Pantai IB World School

Pengetua En. Ismail bin Abdullah menyampaikan cenderahati kepada wakil calon SPM 2021 di setiap kelas

Labuan, 25 Feb – Panitia Pendidikan Islam SMK Pantai IB World School Wilayah Persekutuan Labuan telah mengadakan Majlis Mohon Restu Ilmu untuk calon-calon SPM 2021 dalam situasi norma baharu yang diadakan secara dalam talian melalui aplikasi Google Meet dan Youtube yang disertai oleh para ibu bapa dan warga sekolah. Semua calon SPM  menyertai majlis ini di dalam kelas manakala barisan pentadbir, AJK terlibat dan guru-guru yang mengajar tingkatan 5 berada di dalam bilik mesyuarat.

Objektif majlis tersebut adalah untuk menyantuni ibu bapa serta guru-guru dengan memohon doa, kemaafan dan memberi penghargaan kepada mereka yang telah menunjukkan sokongan dan kasih sayang, menjadi pendorong dan tenaga pengajar kepada calon-calon SPM 2021 sepanjang mereka belajar di sekolah ini.

Terdahulu majlis pada pagi Jumaat itu dimulai dengan bacaan Surah al Kahfi dan Yassin yang diketuai oleh murid  kelas 5 Thinker iaitu saudara Aidil bin Hadis dan Mohd Arief Daniel bin Mohammad Azlan. Ini disusuli pula dengan bacaan doa yang diketuai oleh Muhammad Mukhriz bin Junait dari kelas 5 Caring. Ucapan wakil murid pula diwakili oleh  Muhd Izam Mushadat bin Gasfar dari kelas 5 Inquirer.

Muhd Izam Mushadat bin Gasfar mewakili calon-calon SPM 2021 menyampaikan ucapan penghargaan & terima kasih kepada ibu bapa dan semua guru

Dalam majlis itu juga, doa memohon keberkatan kepada Ilahi telah dibimbing oleh Ustaz Muhammad Firdaus Shaifullah bin Mohd Abdul Karim. Amanat untuk calon-calon SPM 2021 pula telah disampaikan oleh Puan Haslindah Muawan (wakil Bidang Bahasa), Puan Jennifer bt Alip @ Janneffar (Ketua Panitia Sejarah dan wakil Bidang Kemanusiaan), Encik Abdullah bin Ali selaku Ketua Guru Bidang Teknik & Vokasional dan Encik Farid Arifin bin Md Arifin mewakili Bidang Sains & Matematik.

YDP PIBG Dr. Rosnelizaide bin Ramely selaku wakil ibu bapa turut menyampaikan ucapan berupa nasihat ringkas dan doa kepada calon-calon SPM 2021 serta ucapan terima kasih atas segala usaha guru-guru & pihak sekolah selama ini bagi membantu persediaan calon-calon ini untuk menduduki SPM kelak.

Semua calon SPM 2021 mengikuti Majlis Mohon Restu Ilmu di dalam kelas.

Pengetuanya, Encik Ismail bin Abdullah telah menyampaikan amanat kepada semua calon SPM 2021 agar menggunakan peluang pada majlis tersebut untuk memohon doa restu & meminta maaf daripada semua guru dan ibu bapa masing-masing. Beliau turut membacakan doa yang mengharapkan penghargaan  dan keampunan kepada ibu bapa dan guru-guru serta kejayaan kepada semua calon SPM 2021 di sekolah itu. Beliau juga turut mengucapkan rasa terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua guru yang akan berpindah pada tahun ini.

Majlis itu telah diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan kepada guru-guru yang akan berpindah dan penyampaian cenderahati kepada wakil calon-calon SPM 2021. Semoga dengan penganjuran majlis seumpama ini akan dapat memberi ketenangan dan motivasi kepada calon-calon SPM 2021, serta sekali gus menaikkan semangat kepada mereka untuk menghadapi peperiksaan nanti.

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN KEPADA SEMUA CALON SPM 2021.

IKHLAS DARIPADA WARGA SMK PANTAI IB World School WP LABUAN.

Berita disediakan oleh : Puan Asfalela binti Mohd Zain

Pengetua SMK Pantai IB World School, Encik Ismail bin Abdullah
berucap dan membacakan doa untuk calon-calon SPM 2021

Loading

image_pdfimage_print