Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat Sempena Peperiksaan SPM 2021 SMK TP Bedaun

LABUAN – Panitia Pendidikan Islam SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) berjaya menganjurkan Majlis Bacaan Yasin dan solat hajat sempena peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal tiba pada 02 Mac 2022 . Majlis yang berlangsung secara dalam talian pada 24 Februari 2022, dimulakan dengan bacaan Yasin selepas solat Maghrib di kediaman masing-masing. Turut hadir bersama dalam program ini ialah guru-guru , ibu bapa dan juga murid-murid calon SPM 2021 yang beragama Islam. Pn. Norazita Binti Md Nor @ Shamsuri, Pengetua SMKTPB turut hadir bersama dengan barisan pentadbir SMKTPB. Untuk makluman, calon SPM sekolah ini ialah seramai 91 orang.

Menurut moderator, Ustaz Mohd Daud bin Abdul Rahman, tujuan utama program ini adalah untuk mendoakan kesihatan dan keselamatan semua warga pendidik, petugas di barisan hadapan, murid- murid, keluarga dan masyarakat agar terhindar daripada ditimpa musibah wabak Covid-19. Program ini juga bertujuan untuk memohon kepada Allah SWT agar mereka yang dijangkiti wabak Covid-19 akan kembali sembuh dengan segera, di samping mendoakan kejayaan calon SPM dalam peperiksaan yang bakal tiba. Adalah diharapkan agar semua urusan anak-anak calon SPM dipermudahkan, diberikan kesihatan yang berpanjangan oleh Allah SWT dan sentiasa bersemangat untuk menghadapi saat-saat perjuangan kelak.

Selesai bacaan Yasin yang dipimpin oleh Ustaz Mohd Azman bin Abd. Rahim dan bacaan doa yang dipimpin oleh Ustaz Erzadiansyah bin Uzad, majlis diteruskan dengan ucapan daripada Pn. Norazita, Pengetua SMKTPB. Dalam ucapannya, beliau merakamkan ucapan terima kasih atas kehadiran semua secara dalam talian. Bagi Pn. Norazita, majlis ini merupakan program kali pertama beliau bertemu dengan ibu bapa dan juga penjaga kerana beliau baharu memulakan tugas di SMKTPB sebagai Pengetua menggantikan En. Ag Rozlan mantan Pengetua sebelum ini. Beliau amat berharap agar ibu bapa dan penjaga dapat memberikan kerjasama dan komitmen yang baik kepada beliau dan juga pihak sekolah dalam memastikan kecemerlangan akademik, sahsiah dan kokurikulum di sekolah ini dapat terus direalisasikan.

Dalam ucapannya juga, Pn. Norazita mengharapkan agar ibu bapa sentiasa dapat menyuntik semangat kepada anak-anak calon SPM dan sentiasa mendoakan anak-anak agar dapat mencipta kejayaan dalam akademik dan sekali gus dapat mengekalkan pencapaian 100 peratus murid layak mendapat sijil seperti tahun- tahun sebelum ini. Beliau menjelaskan dalam kepimpinan Pengetua terdahulu, SMKTPB telah mencipta sejarah dalam keputusan peperiksaan SPM dengan pencapaian 100 peratus murid lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah yang melayakkan semua calon memperoleh sijil SPM. Beliau amat berharap agar calon SPM 2021 dapat meneruskan kejayaan ini demi masa hadapan masing-masing.

Sebelum mengakhiri ucapan, Pn. Norazita berharap agar calon SPM 2021 sentiasa mempunyai daya saing yang positif sesama rakan untuk mencapai kejayaan. Unsur pembugaran kendiri perlu ada dalam jiwa setiap murid agar dapat berusaha dengan sendiri dalam jangka masa yang terdekat ini. Dalam jangka masa yang berbaki beberapa hari lagi, seharusnya murid dapat memberikan fokus yang sepenuhnya terhadap apa-apa sahaja yang disampaikan oleh guru. Usaha daripada murid sendiri amatlah penting kerana tiada jalan pintas untuk mencapai kejayaan dalam hidup. Pada akhir ucapannya, beliau berharap agar semua calon sentiasa menjaga kesihatan diri dan mendoakan agar semua calon memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam SPM 2021.

Majlis diakhiri dengan solat Isyak dan solat Hajat di rumah masing-masing. TAMAT.

Berita Oleh : SMK TP Bedaun

Loading

image_pdfimage_print