Majlis Anugerah Cemerlang SMK Rancha-Rancha Kali Ke-7

Pengetua Ustaz Wan Azman bin Wan Awang menyampaikan ucapan aluan dalam Majlis Perasmian Penutupan Majlis Anugerah Cemerlang SMK Rancha-Rancha kali ke-7

Labuan, 4 Mac – SMK Rancha-Rancha telah mengadakan Majlis Anugerah Cemerlang kali ke-7 bertempat di Dewan Terbuka Sekolah tersebut. Majlis ini diadakan untuk memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada murid-murid yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam bidang kokurikulum, hal ehwal murid, kurikulum dan sahsiah.

Majlis anugerah ini diadakan selama tiga hari berturut-turut iaitu bermula pada 16 Februari 2022 hingga 18 Februari dan telah memberikan penghargaan kepada seramai 92 orang murid dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Majlis ini diadakan selama tiga hari kerana perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) terkini bilangan individu yang dibenarkan berkumpul dalam satu-satu masa.

Menurut Pengetua sekolah tersebut, Ustaz Wan Azman bin Wan Awang, majlis ini diadakan khusus untuk meraikan dan memberi pengiktirafan kepada putera-putera dan puteri-puteri SMK Rancha-Rancha yang telah berusaha gigih demi mencemerlangkan diri dan mengharumkan nama sekolah. Beliau selaku nakhoda bahtera SMK Rancha-Rancha berasa bangga dengan pencapaian para murid dan guru. Beliau turut mengingatkan agar semua murid perlu ada unsur-unsur pembugaran kendiri dan tidak mengajar diri  menilai sesuatu keputusan untuk berubah itu menerusi dimensi yang sempit tetapi semestinya perlu bersikap imaginatif dan praktikal terutamanya dalam suasana pandemik ini.

Ustaz Wan Azman turut mengharapkan agar sentuhan majlis ini dapat membuatkan murid-murid tidak melupakan jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh barisan pendidik mithali SMK Rancha-Rancha. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada guru-guru yang telah bertungkus-lumus mendidik dan memberikan tunjuk ajar sehingga mampu melahirkan kemenjadian murid di SMK Rancha-Rancha sepanjang sesi persekolahan 2021/2022. Namun demikian, pengetua turut mengatakan bahawa perjuangan guru-guru dan murid tidak berakhir dalam majlis ini kerana mereka akan menempuh medan peperangan yang penting pada bulan Mac nanti. Pengetua turut berpesan agar mempersiap segala kelengkapan serta disulami dengan doa kepada yang maha Esa agar dipermudahkan dalam menjawab peperiksaan nanti.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Pegawai Angkat Sekolah, Ustaz Abdul Kahar bin Abdul Rahim, Penolong Pengarah Pusat Kokurikulum, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Dalam ucapan perasmian beliau, beliau menyatakan bahawa pada hari ini, kita bersama-sama meraikan serta mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar dan guru-guru yang telah menunjukkan ketabahan dan kecekalan untuk terus bersaing dan meningkatkan prestasi cemerlang walaupun proses pembelajaran terganggu kerana berdepan dengan penularan pandemik COVID-19. Beliau yakin banyak perkara yang boleh dipelajari dan ditauladani oleh para pelajar  merangkumi semua aspek dan mendoakan usaha berterusan murid-murid dan guru-guru akan memberi manfaat kepada semua pihak.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Ustaz Abdul Kahar bin Abdul Rahim, Pegawai Angkat Sekolah SMK Rancha-Rancha

Dalam majlis ini adik Nur Suhaila binti Omar Ali, murid tingkatan 5 diangkat sebagai penerima Anugerah Tokoh Pelajar dan antara calon pelajar cemerlang SPM 2021. Manakala adik Nur Qyairul Syifaa Binti Ryzisyaini yang juga merupakan murid tingkatan 5 telah menerima Anugerah Tokoh Kokurikulum untuk kali ini. Seramai 92 orang murid dan 20 orang guru telah menerima anugerah dan penghargaan dalam majlis yang berlangsung selama tiga hari ini. Seramai 9 orang guru telah diberikan penghargaan daripada pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atas pencapaian 100% dan peningkatan GPMP mata pelajaran dalam SPM 2020 sebelum ini.

Cikgu Sapri bin Idris telah diangkat sebagai penerima Anugerah Suri Teladan kerana telah menunjukkan pencapaian yang cemerlang sepanjang tahun 2021 antaranya telah berjaya membawa kemenangan Naib Johan Pusat Sumber Kebangsaan Tahun 2021, Johan Pusat Sumber anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Sabah 2021 serta Tokoh Inovasi W.P.Labuan 2021. SMK Rancha-Rancha turut memberikan Penghargaan Komuniti Rakan Strategi kepada Pusat Pungutan Zakat Labuan kerana banyak terlibat dalam program-program yang dianjurkan oleh sekolah sepanjang tahun 2021.

Cikgu Sapri bin Idris telah menerima Anugerah Guru Suri Teladan yang telah menunjukkan pencapaian cemerlang dalam peringkat negeri dan kebangsaan.
Ustaz Abdul Kahar dan barisan pentadbir sekolah bergambar bersama-sama dengan guru-guru dan komuniti penerima anugerah dalam majlis tersebut
Ustaz Abdul Kahar dan barisan pentadbir sekolah bergambar bersama-sama dengan penerima anugerah yang merupakan barisan murid harapan cemerlang SPM 2021

Loading

image_pdfimage_print