Akidah Mantap Lestari Sahsiah : Program Dakwah Bil Hal Peringkat Kebangsaan 2022

LABUAN: Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) berjaya melaksanakan Program e-Dakwah Bil Hal Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 dengan tema Akidah Mantap Lestari Sahsiah  baru-baru ini.

e-Dakwah Bil Hal (DBH) merupakan suatu inisiatif Bahagian Pendidikan Islam (BPI), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membangunkan modal insan yang berketrampilan, mempunyai jati diri yang tinggi serta memiliki sahsiah dan akidah yang teguh.

Objektif DBH ini diadakan adalah untuk meningkatkan kefahaman mengenai asas-asas agama Islam dari sudut Aqidah, Ibadah Sirah dan Akhlak disamping mendorong kesedaran dan keinginan kepada para peserta untuk melakukan perubahan lebih baik terhadap diri sendiri.

Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 23 Februari lalu melibatkan seramai 200 orang peserta daripada enam buah sekolah menengah di wilayah ini. Peserta terdiri daripada murid-murid tingkatan satu hingga tingkatan tiga dengan dibantu oleh sepuluh orang fasilitator daripada kalangan Jurulatih Dakwah Negeri.Turut hadir memantau pelaksanaan DBH Zon W.P.Labuan ialah Tuan Haji Arifuddin Bin Abd Hamid, Ketua Penolong Pengarah, Unit Akidah dan Pemikiran dan Ustaz Muhamad Shafie Bin Hj Ismail, Ketua Penolong Pengarah, Unit Akhlak dan Syiar Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia. 

Para peserta sedang mengikuti program secara dalam talian.

Antara pengisian program pada hari pertama ialah sesi taaruf bersama peserta dan barisan urusetia. Ceramah akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Shafie bin Abdul Ghani, Ceramah Akhlak penyuluh Hidup disampaikan oleh ustaz Mohd Fadzli Sheikh Abdul Rahim, Tahsin Solat dan bacaan surah Al Fatihah dikendalikan oleh Ustaz Mohd Daud Bin Abdul Rahman. Para peserta juga diberi tugasan menjawab soalan kuiz dan membuat pembentangan pada sebelah petang.

Manakala pada sebelah malam pula diadakan majlis bacaan surah Yaasin dan tahlil yang dikendalikan oleh ustaz Mohd Saifulizzan bin Mat Yasin, Juru latih dakwah daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara.

Peserta e-Dakwah Bil Hal menerima cenderamata daripada ustaz Arifuddin dalam program Ziarah Kasih Dakwah Bil Hal

Dalam ucapan alu-aluan oleh Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam (SPI), Kamariah binti Salim merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada barisan urusetia yang diketuai oleh Penolong Pengarah Unit Adab dan Nilai, SPI, Sahrum bin Samlan kerana berjaya menyusun atur program dengan gerak kerja yang pantas dalam memastikan kelancarannya.  Beliau menaruh harapan yang tinggi terhadap keterlibatan semua peserta dan juru latih sepanjang program ini berlangsung dalam memastikan impak program tercerna melalui kemenjadian murid.

“Anak-anak ialah permata berharga anugerah Allah. Saya mempunyai keyakinan tinggi terhadap generasi anak-anak kita, kerana bagi saya, anak-anak ialah aset kepada pembangunan negara. Oleh itu, generasi pada hari ini hendaklah dilengkapkan dengan bukan sahaja ilmu akademiknya yang tinggi tetapi juga tinggi kebolehan, kemahiran dan kecekapan dalam pelbagai bidang dan lapangan” katanya.

Majlis Penutupan diserikan dengan kehadiran Pengarah Pendidikan JPWPL, Yusup bin Hj Mohamad. Dalam ucapannya beliau  merakamkan ucapan terima kasih kepada Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia kerana telah memilih W.P Labuan sebagai salah satu zon dalam penganjuran program yang amat bermakna ini.

“Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Sektor Pendidikan Islam dengan kerjasama sekolah yang terlibat kerana telah berjaya melaksanakan program ini dengan lancar di peringkat Zon W.P Labuan. Tidak lupa juga, sekalung tahniah dan penghargaan kepada Sektor Pendidikan Islam, Jabatan pendidikan Negeri Sabah selaku tuan rumah peringkat Zon Sabah dan tuan rumah Majlis Perasmian Penutupan Dakwah Bil Hal Peringkat Kebangsaan Tahun 2022” katanya lagi.

Majlis Penutupan e-Dakwah Bil Hal Peringkat Kebangsaan telah dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, KPM, Tuan Haji Hassan Nudin bin A. Hamid secara telesidang melalui aplikasi google meet  secara terus dari Pejabat Pendidikan Daerah Tawau. Turut hadir sama dalam majlis ini ialah Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Dr. Mistirine binti Radin, Timbalan Pengarah Pembangunan Program Adab Dan Nilai, BPI, Noriah binti Harun dan pegawai-pegawai kanan Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, peserta e-Dakwah Bil Hal dan guru-guru Pendidikan Islam daripada seluruh negara.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Adik Atikatul A’Aliah menerima hadiah peserta terbaik program e-Dakwah Bil Hal
Encik Yusup sempat merakamkan gambar kenangan bersama urusetia dan pengetua sekolah terlibat dalam program e-Dakwah Bil Hal.
Pegawai-pegawai Sektor Pendidikan Islam merakamkan gambar kenangan bersama Encik Yusup, Arifuddin (tiga dari kanan) dan Muhamad Shafie (tiga dari kiri)

Loading

image_pdfimage_print