MRC sampaikan sumbangan untuk murid Labuan

Labuan, 22 Mac – Majlis Getah Malaysia (MRC) telah menyampaikan bantuan awal persekolahan kepada 27 buah sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan pada Ahad lalu.

Program kerjasama MRC, Jabatan Pendidikan W.P Labuan, Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) dan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM) ini telah diadakan di Dewan Terbuka Pusat Ko Kurikulum Negeri di Merinding.

Menurut Encik Ismail Abdullah, YDP MPSM Labuan yang juga pengetua SMK Pantai, program ini adalah satu inisiatif kerjasama pelibatan pihak swasta untuk meningkatkan persediaan murid-murid sebelum memulakan sesi persekolahan tahun Akademik 2022/2023.

Majlis penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MRC, Encik Nor Hizwan bin Ahmad.

Dalam ucapannya, beliau berkata MRC komited untuk terus memberi kerjasama dan membantu murid-murid di Labuan terutamanya dari aspek persediaan bahan-bahan pembelajaran.

“Pada tahun ini, MRC menyediakan peruntukan hampir 2 juta untuk bantuan awal persekolahan “back to school” kepada kira-kira 6000 orang murid seluruh negara. MRC akan terus melaksanakan tanggungjawab sosial dengan menyalurkan bantuan secara lebih meluas kepada murid-murid yang memerlukan pada masa akan datang” ujar beliau lagi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim yang mewakili Pengarah Pendidikan dan dua Ahli Lembaga Pemegang Amanah MRC, Puan Dayang Rusimah @ Raynie binti Datuk Haji Mohd Din dan Tuan Haji Zakaria bin Haji Abdul Rahim.

Selain itu, YDP MPSM Kebangsaan Encik Mohd Ariffin bin Haji Abdul Rahman dan Encik YDP GMGBM , Tuan Haji Abdul Rahman bin Ibas turut hadir dalam majlis berkenaan.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Loading

image_pdfimage_print