Pelancaran Program Ihya’ Ramadan Peringkat JPWPL Tahun 2022

Pengarah Pendidikan JPWPL, Encik Yusup (empat dari kanan) bersama Tn Hj Abd Rahman (tiga dari kanan), Puan Maimoon (dua dari kanan), Encik Mohd Nizam (dua dari kiri), Puan Kamariah (kanan) dan urusetia program.

Labuan – Kehadiran bulan Ramadan Al-Mubarak diraikan dengan Majlis Pelancaran Program Ihya’ Ramadan Peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) yang diadakan Bilik Mesyuarat Botanikal, JPWPL pada 1 April yang lalu.

Program Ihya’Ramadan yang dikelolakan oleh Sektor Pendidikan Islam (SPI) diadakan untuk mengimarahkan bulan Ramadhan dengan program-program yang dapat meningkatkan amal ibadah dan penghayatan Islam dalam kalangan warga pendidikan.

Majlis dimulai dengan bacaan surah Al Kahfi, surah Yaasin dan doa selamat. Tazkirah Ambang Ramadan yang disampaikan secara santai oleh Pengurus Kanan  Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan Labuan, Ustaz Ahmad Sharizal Mohd Saffian  menyerikan lagi majlis tersebut.

Dalam tazkirahnya Ustaz Ahmad Sharizal berkata cara untuk menzahirkan kegembiraan menunggu ketibaan Ramadan adalah dengan mempersiapkan diri dengan ilmu berkaitan puasa dan ibadat lain yang boleh dilakukan sepanjang Ramadan.

Katanya, setiap muslim selalu berharap untuk bertemu dengan bulan ramadan, karena bulan ini merupakan bulan yang penuh dengan rahmat, anugerah dan pahala yang berlipat ganda.

“Ciri-ciri orang beriman iaitu saat datangnya bulan Ramadan ia senang. Melakukan ibadah puasa dengan penuh keimanan dan ketaqwaan sehingga nanti akan timbul perasaan takut untuk melakukan segala bentuk kemaksiatan” ujarnya lagi.

Majlis Pelancaran Program Ihya’ Ramadan telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan JPWPL, Encik Yusup Haji Mohamad.

Dalam ucapannya, beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua yang hadir secara bersemuka dan secara maya dalam Program Tafaqquh Fiddin ini.

“Saya percaya ada beberapa program yang telah disusun oleh Sektor Pendidikan Islam dalam kita menghidupkan lagi ibadah puasa Ramadhan yang akan datang di peringkat jabatan ini dan begitu juga yang telah dirancang peringkat sekolah.

“Kita perlu muhasabah diri supaya setiap perkara negatif ketika Ramadan pada tahun yang lalu tidak kita ulangi pada tahun ini. Kita perlu menghayati intipati falsafah sebenar ibadat puasa pada Ramadan ini supaya apa yang diamalkan tidak tersasar daripada landasan sebenar”, tegas Yusup lagi.

Dalam ucapannya beliau turut mendoakan agar Ramadan yang disambut kali ini memberikan semangat kepada kita dan umat Islam di Malaysia terutamanya untuk bangkit kembali setelah menghadapi pelbagai kekangan akibat Covid-19.

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon Matnoh, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan Encik Mohd Nizam Yasim, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Tuan Haji Abdul Rahman Ahmad, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Encik Yahya Ahmad Puteh, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam Puan Kamariah Salim, Ketua-ketua sektor, pengetua dan guru besar serta pegawai-pegawai JPWPL.  

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Loading

image_pdfimage_print