Labuan, 29 April- Majlis Khatam Al Quran yang diadakan pagi tadi secara bersemuka di Bilik Mesyuarat Botanikal, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) menjadi kemuncak sekaligus menutup tirai kepada Program Ihya’ Ramadan Peringkat JPWPL bagi tahun 2022.
Majlis Khatam Al Quran yang dikelolakan oleh Sektor Pendidikan Islam (SPI) ini telah dihadiri lebih 50 peserta daripada kalangan pegawai dan kakitangan di jabatan. Majlis dimulai dengan bacaan surah Al Kahfi ayat 1 hingga 10 dan ayat 100 hingga 110 diketuai oleh Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam ustaz Mohd Fadzli Sheikh Abdul Rahim,.
Manakala Majlis Khatam Al Quran dipimpin oleh Penolong Pengarah Pembangunan Adab dan Nilai, Sektor Pendidikan Islam, Ustaz Sahrum Bin Samlan. Seramai 14 qari jabatan telah memperdengarkan bacaan juzuk amma bermula daripada surah Ad-dhuha hingga surah An-Nas.
Tazkirah berkaitan fadhilat mempelajari Al Quran yang disampaikan oleh Ketua Imam Masjid Layang-Layangan ustaz Muhammad Syafie Abdul Ghani telah menyuntik semangat para peserta khatam Al Quran untuk terus belajar dan menguasai kemahiran Al Quran.
“Sebagai umat Islam kita sangat dituntut untuk mendalami ilmu al-Quran. Selain itu ilmu bacaan seperti cara lafaz dan hukum tajwid perlu di fahami dan didalami dengan betul agar bacaan bertambah baik”. katanya.
Majlis Khatam Al Quran yang diadakan pagi ini merupakan kesinambungan bagi menjadikan amalan membaca Al Quran sebagai satu kelaziman dalam kehidupan seharian dan menyemai rasa kecintaan yang mendalam terhadap kalamullah. Memartabatkan Al Quran ke satu tahap yang lebih tinggi dan yang paling utama dapat memantapkan kemahiran membaca al-Quran dalam setiap jiwa warga kerja JPWPL ini.
Menurut Ketua Penolong Pengarah SPI, Ustazah Kamariah Salim, Sektor Pendidikan Islam telah melaksana pelbagai program sepanjang bulan Ramadan tahun ini seperti tadarus Al-Quran, Tazkirah zohor, Sentuhan Nurani dengan bacaan Al Mathurat setiap pagi, Tafaqquh Fiddin iaitu bacaan surah Al Kahfi dan Yaasin setiap Jumaat, Jaulah Ramadan ke 5 buah masjid,Tabung Infaq Ramadan, Iftar Ramadan, Sumbangan kepada asnaf dan kemuncaknya pada pagi ini iaitu Majlis Khatam Al-Quran.
Majlis Perasmian Penutupan Program Ihya’ Ramadan telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan JPWPL, Encik Yusup Hj Mohamad.
Amanat Pengarah: En Yusup menyampaiakn ucapan seterusnya merasmikan Perutupan Program Ihya’ Ramadan Peringkat JPWPL Tahun 2022 Tekun mendengar tazkirah yang disampaikan berkaitan Fadhilat mempelajari Al Quran.
Beliau merakamkan ucapan tahniah kepada semua peserta yang berjaya menyelesaikan bacaan mengikut juzuk dan peserta yang memperdengarkan bacaan dengan faseh dan lancar dalam majlis tersebut.
“Penghayatan kepada isi kandungan ayat-ayat suci al-Quran akan memberi kita inspirasi dan galakan untuk lebih berusaha mendekatkan diri kepada Ilahi dan menguasai segenap bidang ilmu pengetahuan. Membaca dengan memfokuskan kepada kualiti bacaan dengan meraikan hukum tajwid sangat penting di samping mentadabbur iaitu memahami dan menghayati makna Al-Quran itu sendiri”. katanya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.
“Di kesempatan ini juga saya ingin merakamkan jutaan penghargaan kepada semua jawatankuasa yang telah menghidupkan dan menjayakan program-program sepanjang bulan Ramadan kali ini. Terima kasih kepada Sektor Pendidikan Islam yang menjadi nadi kepada setiap program sepanjang ramadhan dan sentiasa memberi komitmen yang terbaik bagi memastikan setiap program berjalan dengan lancar.
Majlis tersebut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Tuan Haji Abdul Rahman Ahmad, pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan Encik Mohd Nizam Yasim, Yang Dipertua Majlis Guru Besar Puan Dg Sarifah A Mahmood.
Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam
Ustazah Kamariah menyampaikan cenderamata Khatam Al Quran kepada Encik Yusup.