Gotong-royong Memasak Eratkan Hubungan Sesama Guru dan Staf SMK Taman Perumahan BedaunTPB

Puan Norsuraya sedang menggembur nasi minyak sambil diperhatikan Puan Rosenani sempena program gotong royong Dapur4Iftar yang berlangsung di Bengkel Masakan, SMKTPB

Labuan 25 April –  Panitia Pendidikan Islam SMKTPB bersama Kelab Guru & Staf sekolah menjalin kerjasama menganjurkan program Dapur4Iftar iaitu majlis gotong-royong memasak dan mengagihkan juadah berbuka puasa sempena Ramadan di Bengkel Masakan SMK Taman Perumahan Bedaun dekat sini.

Inisiatif program itu bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dengan warga guru dan staf sambil berkongsi rezeki sesama ahli keluarga staf.

Sebanyak 165 bekas juadah berjaya disiapkan dan diagihkan kepada guru dan ahli keluarga staf sebagai juadah berbuka puasa.

Aktiviti dimulakan dengan menyediakan bahan dan perkakasan memasak nasi minyak, lauk dan acar secara bergotong-royong di bengkel berkenaan.

Turut hadir Pengerusi Kelab Guru & Staf SMK Taman Perumahan Bedaun, Puan Noorain Bt Mohd Tuah.

Acara gotong-royong dijalankan oleh ahli jawatankuasa program serta  dibantu oleh guru-guru bukan Islam bermula jam 10.30 pagi hingga 3.00 petang.

Encik Mohd Daud selaku penyelaras majlis berkata, program itu diadakan bertujuan mengimarahkan lagi Ramadan serta sebagai salah satu usaha mengukuhkan semangat kerjasama dan merapatkan hubungan guru Muslim bersama rakan guru bukan Muslim.

“Program ini telah mula dilaksanakan tahun lepas dan mendapat sokongan untuk diadakan sekali lagi pada tahun ini. “

Dalam pada itu, Puan Noorain merangkap Pengerusi Kelab Staf berkata, beliau bersyukur kerana dapat membantu menjayakan majlis ini dan mengeratkan lagi hubungan sesama staf melalui aktiviti gotong royong menyediakan makanan untuk berbuka puasa.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Loading

image_pdfimage_print