Meriahnya Kejohanan Merentas Desa Kali Ke-17 SMK Taman Perumahan Bedaun Tahun 2022

Rumah Zuhal menjadi Juara Keseluruhan Merentas Desa SMKTPB Tahun 2022

Labuan, 20 Mei – Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah menganjurkan Kejohanan Merentas Desa Peringkat Sekolah Kali ke-17. Acara ini telah dimulakan seawal jam 7 pagi.

Satu taklimat keselamatan telah disampaikan oleh Encik Ahmad Yusri bin Che Daud, Setiausaha Sukan, kepada semua peserta sebelum acara dimulakan. Acara ini telah disertai oleh empat buah rumah sukan iaitu Musytari, Marikh, Zuhal dan juga Neptune.

Tepat jam 7.30 pagi, acara merentas desa bagi kategori lelaki bawah 18 tahun dimulakan. Jarak larian bagi kategori lelaki bawah 18 tahun ialah 8 km, manakala kategori perempuan bawah 18 tahun, lelaki bawah 15 tahun dan perempuan bawah 15 tahun ialah 6 km.

Kejohanan tahun ini berjalan dengan lancar seperti tahun-tahun sebelum ini kerana mendapat bantuan keselamatan daripada anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam.

Taklimat keselamatan oleh Encik Ahmad Yusri

Puan Lau Chin Ying, Penolong Kanan Kokurikulum berkata, “Kejohanan Merentas Desa ini dapat memberi pendedahan kepada murid serta mencungkil bakat murid. Dalam masa yang sama, kejohanan ini juga bertujuan untuk menyemarakkan semangat persaingan yang sihat dalam kalangan murid serta dapat menggilap bakat murid dalam bidang sukan untuk diserlahkan ke peringkat yang lebih tinggi.”

Kejohanan ini telah dirasmikan oleh En. Peter Wong,YPD PIBG SMKTPB.

Juara bagi kategori bawah 18 tahun, kategori lelaki dimenangi oleh Al-Muhmin Bin Minjamin dengan masa larian 40.10 minit manakala juara bagi kategori perempuan dimenangi oleh Dayang Siti Fatmah Binti Majumin dengan masa larian 34.57 minit.

Bagi kategori bawah 15 tahun pula, juara kategori lelaki dimenangi oleh Mohammad Riduan Amin Mulia bin Majumin dengan catatan masa larian 29.15 minit, manakala kategori perempuan dimenangi oleh Nur Shaharah bt Joini dengan masa larian 36.41 minit.

Juara keseluruhan Kejohanan Merentas Desa pada tahun ini telah dimenangi oleh Rumah Zuhal, Naib johan Rumah Marikh, tempat ketiga Rumah Musytari dan diikuti dengan rumah Neptune di tempat keempat.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Barisan pentadbir bersama pegawai angkat dan para jemputan

Loading

image_pdfimage_print