Munajat Kesyukuran Mewarnai Sambutan Hari Guru Peringkat WP Labuan

Para warga pendidik di WP Labuan mendirikan solat hajat secara berjemaah di ketuai oleh Ustaz Mohd Fadzli

LABUAN, 19 Mei 2022– Munajat Kesyukuran Warga Pendidikan Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan telah diadakan dengan jayanya di Masjid Kampung Sungai Bedaun dengan dihadiri seramai 250 orang jemaah yang terdiri daripada warga pendidik seluruh WP Labuan dan kariah setempat.

Majlis yang diadakan saban tahun bertujuan untuk mengeratkan jalinan ukhwah silaturrahim di samping memohon kerahmatan dan keberkatan kepada semua insan yang bergelar warga pendidik samada yang terdahulu ataupun yang masih meneruskan kerjaya tersebut. Majlis ini telah dikelolakan oleh Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam W.P.Labuan.

Pengimarahan Majlis Munajat Kesyukuran ini dimulai dengan solat Maghrib dan solat hajat secara berjemaah yang diketuai oleh Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam ustaz Mohd Fadzli Sheikh Abdul Rahim. Bacaan surah Yasin, tahlil dan doa telah diketuai oleh  ustaz Sahrum Samlan. Manakala tazkirah yang bertajuk “Peranan Pendidik Membina Insan Rabbani”  telah disampaikan oleh pegawai Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (MAIWPL) ustaz Anuar Mat Saad.

“Bagi membentuk insan rabbani  iaitu yang beriman, berakhlak mulia, berilmu pengetahuan, beramal soleh, bertanggungjawab dan layak berkhidmat untuk membangunkan keluarga, masyarakat, negara serta ummah semuanya bermula daripada asas iaitu rumah dan sekolah.

Justeru 14 elemen seperti yang dinyatakan dalam Sekolahku SEJAHTERA perlu dihayati dalam jiwa setiap warga pendidik” katanya dalam tazkirah yang disampaikan. 

Majlis ini telah disempurnakan oleh Tuan Pengarah Pendidikan JPWPL, Encik Yusup Haji Mohamad. Turut hadir Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Puan Maimoon Haji Matnoh, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Encik Yahya Ahmad Puteh, Ketua Sektor Pendidikan Islam Puan Kamariah Haji Salim, Ketua Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Encik Awang Marten Datuk Haji Abdul Rahman, Ketua Sektor Pendidikan Khas Puan Noraini Sabudin, Pengetua, Guru Besar dan warga pendidik di WP Labuan.

Hadir bersama dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Masjid Kg. Sg. Bedaun Tuan Hj. Mingu bin Hj. Matnoh dan Ketua Kampung Sg. Bedaun Encik Rosmani bin Puteh.

Dalam ucapannya, Encik Yusup merakamkan ucapan Selamat Hari Guru kepada semua guru dan berharap agar guru-guru terus bersemangat untuk meneruskan usaha mendidik anak bangsa.

Beliau turut merafakkan kesyukuran kepada Allah s.w.t. disamping memohon kesejahteraan dan kerahmatan kepada semua warga yang bergelar guru. Di akhir ucapan beliau juga turut mengucapkan tahniah kepada SMA MAIWP Labuan kerana mengelolakan majlis dengan jayanya pada tahun ini.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Antara barisan warga guru yang hadir menyemarakkan munajat kesyukuran bersama dengan Encik Yusup dan pegawai jabatan

Loading

image_pdfimage_print