Sambutan Jubli Perak 25 Tahun SMK Lajau Di Puncak Gunung Kinabalu

Para pendaki Project Possible Kinabalu 2022 bergambar sebelum memulakan aktiviti pendakian yang berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu

Labuan – Seramai 16 orang warga Sekolah Menengah Kebangsaan Lajau (SMK Lajau) berjaya menawan Gunung Kinabalu pada 8 hingga 9 Jun lalu. Penasihat delegasi, Julaily Simon berkata program pendakian yang dikenali sebagai Project Possible Kinabalu 2022 itu turut disertai oleh guru-guru, bekas pelajar dan ahli keluarga.

Katanya program pendakian ini merupakan program pertama sempena sambutan jubli perak yang ke 25 tahun SMK Lajau dibuka. Disamping mengeratkan kerjasama pasukan serta melihat keindahan gunung dan kawasan sekitarnya.

Turut berkongsi pengalaman ketua pasukan Project Possible Kinabalu 2022, Mohd Putra Yassin, mereka telah menjalani latihan selama dua hingga tiga bulan sebelum mendaki puncak tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara tersebut.

Program Project Possible Kinabalu 2022 ini telah dirancang sejak 3 tahun lepas lagi namun hanya dapat dilaksanakan pada tahun ini akibat penularan pendemik COVID 19 yang melanda.

Bercerita lanjut mengenai perjalanan sepanjang pendakian itu, Mohd Putra berkata mereka telah memulakan pendakian dari Timpohon Gate pada Rabu 8 Jun sekitar 8.30 pagi dan tiba di Panalaban sekitar 4.30 petang.

Kemudian mereka memulakan pendakian menuju puncak Gunung Kinabalu seawal jam 2 pagi dan tiba di puncak kira-kira pukul 5.30 hingga 7.00 pagi pada Khamis 9 Jun 2022.

Katanya lagi, antara cabaran yang dilalui oleh mereka adalah keupayaan untuk mengekalkan stamina berikutan paras oksigen yang semakin berkurangan terutama ketika ketinggian melepasi 3000 meter dari aras laut, keadaan cuaca yang tidak menentu dengan hujan pada waktu subuh menyebabkan mereka terpisah dan terpaksa melalui jalan tangga berbatu yang licin ketika mendaki dan menuruni puncak.

“Namun demikian, Alhamdulillah akhirnya semua cabaran tersebut berjaya diatasi berkat doa dan semangat, serta sokongan rakan-rakan, pendaki lain serta malim gunung yang sentiasa membantu”.

Bagi salah seorang guru yang juga bekas pelajar SMK Lajau ambilan pertama tahun 1984, Rafizi Yussof “Pendakian ini tidak mudah, tetapi berkat doa dan kerjasama sepasukan dan demi mengenang jasa SMK Lajau selama 25 tahun dalam arus pendidikan terutama di W.P Labuan akhirnya pasukan Project Possible Kinabalu 2022 berjaya jua.” Kata beliau yang kini merupakan tenaga pengajar di SMK Lajau.

Mengakhiri ucapan sempena sambutan jubli perak 25 tahun SMK Lajau, Julaily Simon sempat memberikan ucapan penghargaan.

“Dikesempatan ini kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Pengetua SMK Lajau, Puan Siti Aminah Zakaria dan Jawatankuasa Persatuan Alumni SMK Lajau serta semua pihak yang terlibat dalam sentiasa memberikan dorongan, sumbangan dan semangat” kata penasihat Program Project Possible Kinabalu 2022 yang juga merupakan Penolong Kanan Kokurikulum SMK Lajau.

Loading

image_pdfimage_print