Guru Dan AKP SMKTPB Dirai Dalam Majlis Apresiasi Sanjungan Budi

Sambutan hari lahir guru-guru dan AKP SMKTPB

Labuan, 29 Ogos – Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah mengadakan Majlis Apresiasi Sanjungan Budi 2022 buat julung kalinya sebagai tanda penghargaan kepada guru-guru dan AKP.

Majlis ini berlangsung dengan jayanya pada 27 Ogos bertempat di Hotel Aifa.

Menurut penyelaras program, Puan Lau Chin Ying, objektif utama majlis ini adalah untuk menghargai pencapaian dan pelibatan guru dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan Hal Ehwal Murid (HEM) tahun 2022.

Majlis ini juga bertujuan untuk meningkatkan semangat dan motivasi kepada semua guru dan AKP untuk memperbiaki dan meningkatkan lagi pencapaian pada masa hadapan.

Majlis yang julung kali diadakan ini, juga diharapkan dapat mengukuhkan lagi silaturahim dalam kalangan pentadbir, guru dan AKP.

Turut hadir bersama dalam majlis ini ialah Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Encik Yahya bin Ahmad Puteh serta Yang Dipetua PIBG, Encik Haider Husin bin Md Rashid.

Puan Lau Chin Ying menerima Anugerah Khas Pengetua atas khidmat bakti sebagai Penolong Kanan Kokurikulum.
Dari kiri Ustaz Mohd Daud, Puan Norazita, Encik Yahya dan Encik Haider

Pengetua SMKTPB, Puan Norazita binti Md.Nor @ Shamsuri dalam ucapannya berkata majlis ini diadakan kerana pihak sekolah sedar akan komitmen serta penat lelah yang telah diberikan oleh guru-guru demi memastikan kemenjadian murid dan kualiti sekolah.

“SMKTPB sememangnya mempunyai potensi untuk lebih cemerlang dalam pencapaian SPM. Begitu juga dalam bidang kokurikulum kerana dalam masa yang singkat, kita telah meraih pelbagai kejayaan dalam pencapaian sukan di peringkat Majlis Sukan Sekolah WP Labuan (MSSWPL),”katanya.

Beliau juga mengharapkan komitmen daripada semua guru untuk melangkah seiringan dalam merealisasikan kemenjadian murid dan kualiti sekolah.

Slogan “Kemenjadian Setiap Murid Aspirasi Kami” dan “STEM Lestarikan Inovasi Masa Hadapan” perlu dihayati oleh semua guru demi kemenjadian murid dan kualiti sekolah.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Encik Yahya bin Ahmad Puteh.

Dalam ucapannya, beliau sangat kagum dan berbangga dengan pencapaian SMKTPB dalam memastikan kemenjadian murid dan kualiti sekolah.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada barisan pentadbir kerana berjaya mengadakan majlis seperti ini sebagai tanda penghargaan kepada semua guru dan AKP untuk terus meningkatkan pencapaian masing-masing dalam pelbagai bidang.

Ucapan syabas dan tahniah juga diberikan kepada semua guru yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan HEM.

Selain penyampaian sijil kepada guru-guru dan AKP, penghargaan turut diberikan kepada dua orang guru yang telah berpindah ke SMK Rancha-Rancha iaitu Ustaz Mohd Daud bin Abdul Rahman dan Encik Ivan Lai.

Majlis diteruskan dengan perkongsian amalan terbaik daripada Cikgu Nurul Faezah binti Abdullah yang berkongsi tentang amalan terbaik PdPc Sejarah. Manakala Cikgu Syafikah binti Nordin pula membuat perkongsian amalan terbaik tentang inovasi “Tapak Kordinasi Lompat Kijang”.

Majlis diakhiri dengan sesi sambutan hari lahir semua guru dan AKP serta cabutan bertuah. TAMAT.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Encik Ramlan (AKP) menerima sijil penghargaan daripada Puan Pengetua.

Loading

image_pdfimage_print