Lahirkan Warisan Generasi ABC : Dialog Prestasi Nasional Bil 2/2022 Kementerian Pendidikan Malaysia

Labuan, 10 Okt – Dialog Prestasi Nasional (DPN) Bil 2/2022 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah berlangsung di Labuan pada 6 hingga 7 Oktober 2022.

Dialog Prestasi adalah salah satu program utama dalam pelaksanaan Program Transformasi Daerah (DTP) dan merupakan satu forum perbincangan untuk menyemak prestasi berdasarkan data bagi memastikan sasaran KPI dicapai.

Agenda DPN pada kali ini memfokuskan kepada Kluster 2 : Kemenjadian Murid dan Kluster 4 : Kecemerlangan Sekolah/PPD/JPN dengan memberi tumpuan kepada analisis keputusan SPM Tahun 2019-2021 dan Status Prestasi Pencapaian Pengurangan Jurang Berasaskan Bandar Luar Bandar (BLB) dan Jantina Peringkat Kebangsaan.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin bin Haji Ghazali yang baharu dilantik pada 23 September 2022 menzahirkan rasa kesyukuran kepada Allah kerana diberi peluang menggalas tugas dan amanah yang begitu besar sebagai KPPM yang ke-19.

Beliau berharap amanah ini merupakan amanah bersama demi menyediakan pendidikan yang terbaik untuk warisan anak bangsa generasi akan datang.

Katanya lagi warisan yang perlu kita lahirkan adalah melahirkan generasi Anak yang Baik lagi Cerdik (ABC) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ke arah lebih memperkembangkanĀ potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Bila kita bercakap tentang warisan, apa yang kita ingin wariskan adalah Anak yang Baik lagi Cerdik (ABC) yang menjadi impian setiap ibu bapa dan masyarakat. YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin bin Haji Ghazali

Beliau menyeru kepada semua warga pendidik dan ibu bapa bersama-sama :

Didiklah anak murid kita dengan cara yang sesuai, apa pun anak yang kita didik mampu melahirkan generasi yang mempunyai sahsiah diri yang tertinggi. KPPM

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin bin Haji Ghazali
KPPM mempengerusikan Dialog Prestasi Nasional Bil 2/2022 secara bersemuka di Labuan dan secara Hybrid melalui Google Meet. Dari kiri Encik Raisin Saidin, YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin, Dr. Norisah Suhaili

DPN diakhiri dengan sesi dialog pembentangan Kluster 4 iaitu perkongsian amalan terbaik sekolah, PPD dan JPN. Antara perkongsian ialah Intervensi Peningkatan LMS SPM 2021 (SMK Pantai WP Labuan), Intervensi jurang SES dan jantina (SMK Setapak Indah Kuala Lumpur), Pembelajaran Hibrid : Alternatif Pembelajaran Abad ke-21 (SMK Putrajaya Presint 18(1)), Narrow Cluster Intervension (SMK Taman Universiti 2, Johor), Inovasi Smartzoom (SK Kempadang, Pahang) dan SPM “Easy Access” Peneraju oleh PPD Kuala Terengganu, Terengganu.

Turut hadir dalam Dialog Prestasi Nasional ialah Timbalan KPPM, Sektor Operasi Sekolah, Dr. Norisah binti Suhaili, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian merangkap Pengurus Program DTP, Encik Raisin Saidin, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan selaku tuan rumah Encik Yusup Haji Mohamad, Pengarah-pengarah Bahagian dan Timbalan Pengarah, Pengarah JPN dan PPD Kementerian Pendidikan Malaysia.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada BPSH dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan yang menjadi urusetia bersama DPN pada kali ini.

Loading

image_pdfimage_print