Program Pengarah Turun Padang, Kunjungi Calon SPM 2022

Labuan, 25 Okt : SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah menerima kunjungan daripada Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad bersama tujuh orang pegawai JPN pada 21 Oktober 2022 (Jumaat).

“Program Pengarah Turun Padang” ke SMKTPB memasuki tahun kedua yang diadakan secara bersemuka dengan 88 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

Objektif utama program ini adalah untuk memberi peluang kepada calon SPM 2022 mendengar amanat daripada Tuan Pengarah sebelum menduduki Peperiksaan Percubaan SPM yang akan bermula pada 31 Oktober nanti.

Turut hadir bersama dalam program ini ialah Pngetua SMKTPB, Puan Norazita Md Nor @ Shamsuri, Penolong-Penolong Kanan, Guru Kanan Bidang serta guru-guru mata pelajaran SPM.

Majlis dimulakan dengan bacaan Yassin yang dipimpin oleh adik Mohd Haikal bin Abd Rahim, diikuti dengan bacaan doa munajat yang dipimpin oleh adik Mohamad Nazhim bin Suhaili.

Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Yahya bin Ahmad Puteh.

Dalam ucapannya, beliau menjelaskan bahawa program ini bertujuan untuk memberi sedikit ruang dan peluang kepada Tuan Pengarah untuk bertemu dan berbicara dengan lebih dekat lagi bersama-sama calon SPM 2022.

Beliau berharap agar semua calon dapat menggunakan masa yang masih ada dengan sebaik mungkin demi mencapai target masing-masing dalam SPM.

Encik Yahya juga mengharapkan agar murid-murid dapat hadir penuh ke sekolah agar tidak ketinggalan dalam mana-mana mata pelajaran.

Calon SPM 2022 SMK Taman Perumahan Bedaun

Tambahnya lagi, Jabatan Pendidikan WP Labuan amat yakin dengan pihak sekolah yang sememangnya mempunyai perancangan untuk memastikan pencapaian semua calon SPM 2022 layak memperoleh sijil SPM kerana sejarah sebelum ini telah membuktikan bahawa SMKTPB pernah mencapainya.

Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Tuan Pengarah Pendidikan, Encik Yusup bin Haji Mohamad.

Dalam ucapannya, beliau amat berharap agar semua calon SPM pada tahun ini dapat bangkit dan lebih berkeyakinan untuk mencipta kejayaan kerana ilmu amat penting untuk masa depan semua.

Beliau juga menyarankan agar semua calon menghayati lirik lagu “Warisan” dendangan Allahyarham Sudirman Haji Arsad kerana lagu tersebut mempunyai maksud yang tersendiri.

Di samping berkongsi kata-kata semangat dengan calon SPM, sesi soal jawab bersama Tuan Pengarah juga diadakan.

Banyak perkongsian ilmu dan kata-kata semangat yang dapat diperoleh daripada ucapan Tuan Pengarah.

Pada akhir ucapannya, beliau berharap agar semua calon SPM 2022 akan memperoleh kejayaan yang cemerlang dan seterusnya dapat membanggakan ibu bapa serta sekolah dengan pencapaian masing-masing.

Majlis diakhiri dengan penyerahan sijil kepada Tuan Pengarah dan juga Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran sempena Program Penyerahan Anak Angkat kepada mereka berdua.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Adik Rosnazira (Pengawas) dan Adik Nur Aziah merupakan anak angkat kepada Encik Yahya dan Encik Yusup

Loading

image_pdfimage_print