Program Mini Kolokium Inovasi / Kajian Tindakan SMKTPB 2022

Labuan, 3 Nov – SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah menganjurkan Program Mini Kolokium Inovasi/Kajian Tindakan yang berlangsung pada 16 November 2022 (Rabu) dan bertempat di Bilik Mesyuarat SMKTPB.

Program Mini Kolokium Inovasi/Kajian Tindakan pertama kalinya diadakan di SMKPTB yang melibatkan warga guru SMKTPB  yang diadakan secara bersemuka dengan seramai 28 orang guru yang terlibat pada hari tersebut.

Turut hadir dalam program ini ialah Pengetua SMKTPB, Puan Norazita Binti Mohd Nor@Shamsuri dan Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Chai Yee San. Pegawai SISC+ Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Puan Juraidah Aman dijemput hadir semasa program tersebut dan dilantik sebagai Pegawai Penilai bagi setiap pembentangan inovasi dan kajian tindakan guru-guru.

Pengetua SMKTPB, Puan Norazita Binti Mohd Nor@Shamsuri mengalu-alukan kedatangan Pegawai SISC+ agar dapat memberikan motivasi dan mendorong semangat guru-guru SMKTPB dalam menghasilkan inovasi dan kajian tindakan yang terbaik serta dapat dijadikan contoh terbaik dalam kalangan guru-guru. Pada masa yang sama, inovasi dan kajian tindakan yang dihasilkan oleh guru-guru dapat meningkatkan profesionalisme guru-guru.

Puan Norazita Binti Mohd Nor@Shamsuri (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Pegawai SISC+ JPWPL, Puan Juraidah Aman (tengah).

Pada akhir program, lima orang guru telah dipilih oleh Pegawai SISC+ sebagai pembentang terbaik dalam menghasilkan inovasi dan kajian tindakan mengikut subjek guru berkenaan. Guru yang terpilih ialah Guru Pendidikan Seni Visual, Encik Maibistamizlan Bin Mohd Salleh, Guru Program Vokasional Menengah Atas, Puan Faridatul Khairah Binti Mohamed Termizi, Guru Kimia, Puan Nadia Adlyn Binti Yussof, Guru Kaunselor, Puan Viviana Ayu Saidin dan Guru Pendidikan Muzik, Cik Marcella Binti Maikel. Guru-guru tersebut menerima sijil penghargaan dan hadiah cenderahati oleh pihak sekolah.

Pegawai SISC+, Puan Juraidah Aman berkata inovasi yang dihasilkan oleh guru perlu lebih berfokus. Beliau berkata, inovasi yang dihasilkan bukan semata-mata untuk bertanding ke peringkat tertinggi kerana guru-guru berusaha menghasilkan sesuatu kaedah dan produk pengajaran untuk membantu Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) murid di dalam kelas. Sekiranya inovasi yang dihasilkan terpilih sebagai inovasi terbaik, itu adalah sebagai bonus atas kekreatifan guru-guru tersebut.

Dalam ucapannya juga, beliau mengucapkan tahniah kepada guru-guru SMKTPB kerana telah berjaya menghasilkan pelbagai produk inovasi bagi membantu memudahkan proses PdP murid di sekolah. Selain itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada pihak sekolah kerana menyediakan gelanggang kepada guru-guru untuk perkongsian ilmu dan membentangkan inovasi.

Pada akhir ucapannya, beliau berharap agar guru-guru tidak berhenti menghasilkan pelbagai inovasi. Beliau berkata, rahsia inovasi adalah menghasilkan produk yang maujud agar produk tersebut dapat digunakan secara berterusan. Beliau turut berharap agar guru-guru sentiasa komited dan bermotivasi dalam meningkatkan profesionalisme guru-guru di sekolah agar lebih cemerlang pada masa hadapan.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Puan Norazita Binti Mohd Nor@Shamsuri (kiri) menyampaikan sijil penghargaan dan hadiah cenderahati kepada Guru Kaunselor, Puan Viviana Ayu kerana terpilih sebagai pembentang inovasi terbaik yang dinamakan “Jump Smash”
Puan Norazita Binti Mohd Nor@Shamsuri (kiri) menyampaikan sijil penghargaan dan hadiah cenderahati kepada Guru Pendidikan Seni Visual, Encik Maibistamizlan Bin Mohd Salleh kerana terpilih sebagai pembentang inovasi terbaik yang dinamakan “Pembaris Figura”

Loading

image_pdfimage_print