Sesi Libat Urus PBD dan Sekolahku Sejahtera Dapat Sambutan Daripada Ibu Bapa

Ibu bapa yang hadir bergambar bersama guru-guru dan YDP PIBG

Labuan, 29 November – SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah mengadakan sesi libat urus Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Sekolahku Sejahtera bersama ibu bapa dan penjaga pada 26 November 2022.

Objektif utama program ini adalah untuk memberi penerangan dan pendedahan kepada ibu bapa berhubung dengan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan menjelaskan tentang konsep Sekolahku Sejahtera.

Turut hadir bersama ialah Yang Dipetua PIBG SMKTPB, En. Haider Husin bin Md Rashid, Penolong Kanan Pentadbiran, Pn. Chai Yee San, Penolong Kanan Kokurikulum, En. Yee Choon Hian, guru-guru kanan bidang dan juga guru-guru.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Ustaz Nik Muhammad Fazli bin Nik Abdul Rahman.

Pengetua SMKTPB, Pn. Norazita Md Nor @ Shamsuri dalam ucapan alu-aluan merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ibu bapa yang sudi meluangkan masa ke program ini. Sememangnya sokongan ibu bapa amat diperlukan bagi memastikan kemenjadian anak-anak SMKTPB.

Pn. Norazita menyampaikan taklimat PBD dan Sekolahku Sejahtera kepada ibu bapa yang hadir.

Program diteruskan dengan taklimat PBD yang disampaikan oleh Pn. Norazita kepada ibu bapa yang hadir.

PBD merupakan proses pentaksiran yang berterusan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran bagi mendapatkan maklumat tentang perkembangan murid dan keberkesanan kaedah pedagogi guru dalam mencungkil penguasaan murid.

Kaedah pentaksiran PBD melibatkan pentaksiran secara lisan, secara bertulis dan pentaksiran secara pemerhatian. Manakala pelaporan PBD pula akan dibuat dua kali setahun iaitu pada pertengahan sesi akademik dan pada akhir sesi akademik.

Melalui PBD, ibu bapa akan dapat mengetahui potensi, kekuatan dan kelemahan anak-anak. Selain itu, ibu bapa juga dapat mengetahui perkembangan anak secara menyeluruh serta dapat mengenal pasti pencapaian anak-anak dari semasa ke semasa.

Ibu bapa juga diharapkan dapat membantu anak-anak dalam pembelajaran berdasarkan maklumat pentaksiran, selain dapat membantu anak-anak mencapai tahap penguasaan mengikut keupayaan.

Berdasarkan kepada laporan PBD pada pertengahan sesi persekolahan, masih ramai murid yang belum mencapai tahap penguasaan (TP4, TP5 dan TP6) dalam semua mata pelajaran. Diharapkan agar pada akhir sesi persekolahan nanti pencapaian tahap penguasaan murid-murid akan lebih meningkat.

Dalam majlis ini juga Pn. Norazita turut menjelaskan kepada ibu bapa tentang konsep “Sekolahku Sejahtera”.

Sekolahku Sejahtera merujuk kepada suasana sekolah yang selamat, aman, selesa, menggembirakan, membina dan inklusif bagi mencapai kesejahteraan masyarakat.

Terdapat 14 elemen yang ditekankan melalui Sekolahku Sejahtera. S = Selamat, Seronok dan Sihat, E = Etika dan Empati, J = Jati Diri, A = Adab Sopan, H = Harmoni, T = Tekun, Teliti dan Terampil, E = Eksplorasi, R = Rasional, dan A = Artikulasi.

Pada akhir ucapannya, Pn. Norazita menyatakan hasrat sekolah kepada ibu bapa amatlah besar agar dapat bersama-sama mencipta kecemerlangan anak-anak dari segi akademik khususnya, selain pencapaian kokurikulum dan sahsiah diri.

Dalam sesi libat urus ini, Kaunselor Sekolah, Cik Anna Karmilla binti Arbani turut menyampaikan maklumat berkaitan dengan Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

Pentaksiran Psikometrik (PPSi) juga merupakan salah satu cabang kepada PBS. PPsi ialah satu kaedah yang digunakan secara sistematik untuk mengumpul maklumat yang menggambarkan tret psikologi.

Tret psikologi yang diukur merangkumi aptitud dan personaliti murid. Hasil dapatan PPSi dapat digunakan untuk membantu meningkatkan pembelajaran murid.

Kaunselor Sekolah, Cik Anna Karmilla menyampaikan taklimat tentang Pentaksiran Psikometrik.

Sebelum berakhirnya program, Yang Dipertua PIBG SMKTPB, En. Haider Husin bin Md Rashid telah memaklumkan bahawa Kelab Anak Muda SMKTPB akan ditubuhkan di bawah Biro Sukan dan Rekreasi PIBG SMKTPB.

Objektif utama penubuhan kelab ini ialah untuk menggalakkan penyertaan murid dalam aktiviti kemasyarakatan dan komuniti.

Beliau berharap agar murid-murid Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 dapat menyertai kelab yang ditubuhkan ini.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

YDP PIBG, En. Haider memaklumkan tentang penubuhan Kelab Anak Muda SMKTPB
Sebahagian daripada ibu bapa yang hadir

Loading

image_pdfimage_print