Program Cambahan Ilmu Mata Pelajaran Pendidikan Moral & Pendidikan Seni Visual, Sekolah Menengah W.P Labuan

Encik Yusup Haji Mohamad bersama para jemputan dan ahli kumpulan Projek Komik Nilai, SMK Pantai

Labuan, 01 Disember – Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan WP.Labuan di bawah Unit Sains Sosial, telah menganjurkan Program Cambahan Ilmu bagi mata pelajaran Pendidikan Moral & Pendidikan Seni Visual, Sekolah Menengah Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Labuan. Program Cambahan Ilmu ini merupakan program perkongsian amalan terbaik yang telah dilaksanakan oleh Panitia Pendidikan Moral dan Pendidikan Seni Visual dari 4 buah sekolah menengah yang terlibat dengan Program Transformasi Daerah (DTP) iaitu SMK Labuan, SMK Pantai, SMK Mutiara dan SMK Lajau di Desa Tunas Hijau WP Labuan.

Kedua-dua panitia ini merupakan panitia mata pelajaran yang dibimbing oleh Suriani Alland Rice Oxley (School Improvement Specialist Coaches @SISC+). Program bimbingan panitia mata pelajaran ini dilaksanakan secara individu dan berkumpulan dengan menggunakan Modul Pemimpin Pertengahan yang berkonsepkan teknik mereflek amalan kendiri yang dihasilkan oleh SISC+ sendiri.

Program perkongsian ini dilaksanakan secara ‘station gallery walk’ iaitu di setiap stesen, pengunjung berpeluang untuk melihat sendiri 6 perkongsian amalan terbaik yang telah dilaksanakan oleh Pendidikan Moral & Pendidikan Seni Visual di 4 buah sekolah menengah ini.

6 perkongsian amalan terbaik yang dipamerkan di dalam program ini ialah Modul Teknik KK.NI.WA.IS dari Panitia Pendidikan Moral SMK Mutiara yang dihasilkan oleh Cikgu Isah Binti Impih (Ketua Panitia Pendidikan Moral), Cikgu Gavin Mak Tien Kee dan Cikgu Anyolevia Benidick. Modul Teknik KK.NI.WA.IS. ialah modul yang membantu murid-murid untuk menjawab soalan esei dengan cara memahami 6 kata kunci soalan iaitu berikan, cerakinkan, huraikan, jelaskan, terangkan dan bincangkan.

Modul Teknik KK.NI.WA.IS, SMK Mutiara

Seterusnya adalah buku Glosari Moral Tingkatan 5 dari Panitia Pendidikan Moral SMK Labuan yang dihasilkan oleh Cikgu Azizan Bin Razali (Ketua Panitia Pendidikan Moral) dan Cikgu Salfinaz Afira Binti Mohd Ismail. Glosari Moral Tingkatan 5 ini mengandungi 68 patah perkataan dalam Bahasa Melayu yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Mandarin termasuk penerangan mengenai perkataan berkenaan.

Buku Glosari Moral Tingkatan 5, SMK Labuan

Perkongsian yang ketiga ialah projek Komik Nilai yang menggabungkan antara Panitia Pendidikan Moral dan Panitia Pendidikan Seni Visual SMK Pantai yang dilaksanakan oleh Cikgu IrmaSuzila Binti Ngopil (Ketua Bidang), Cikgu Siti Madihah Binti Mohd Kamal (Ketua Panitia Pendidikan Moral), Cikgu Kasnan Josef (KP PSV), Cikgu Maureen Imang Jau dan Cikgu Didie Pilin. Murid-murid Tingkatan 1 – 3 dibimbing untuk menghasilkan komik yang mempunyai elemen ‘nilai moral’.

Selain itu, terdapat juga perkongsian program ‘Exit Card’ oleh Panitia Pendidikan Seni Visual dari SMK Labuan yang dihasilkan oleh Cikgu Afandi Yahya (Ketua Panitia Pendidikan Seni Visual). Beliau mengaplikasikan penggunaan ‘Exit Card’ di dalam PdP ketika sesi penutup. Murid-murid akan menulis perkara yang mereka pelajari semasa PdP dan pada hujung bulan, murid-murid ini akan menganalisis segala kemahiran yang telah mereka pelajari.

Perkongsian kelima adalah dari Panitia Pendidikan Seni Visual, SMK Labuan yang dilaksanakan oleh Cikgu Evy Lovelin Binti Kimlin. Beliau melaksanakan pendekatan PdP PSV di luar bilik darjah yang melibatkan 3 proses (pemerkasaan kefahaman, pengaplikasian kefahaman & penerangan berdasarkan kefahaman) bagi membantu murid-murid untuk mendapatkan TP6 bagi teori seni seperti garisan, rupa, bentuk, jalinan, warna dan ruang yang terdapat dalam satu karya.

Program ‘Exit Card’, SMK Labuan
PdP PSV di luar bilik darjah, SMK Labuan

Perkongsian yang terakhir adalah dari Panitia Pendidikan Moral SMK Lajau yang bertajuk Aktiviti 18 Nilai Universal Moral yang dilaksanakan oleh Cikgu Rachell Maycy Morris Mojolou (Ketua Panitia Pendidikan Moral), Cikgu Iz’aannur Syifa binti ismail dan Cikgu Angelin Lee Chai Siah. Aktiviti 18 Nilai Moral merupakan satu program berupa pertandingan seperti ‘word search’, soalan objektif dan soalan subjektif khusus untuk 29 orang murid yang mengambil mata pelajaran pendidikan moral di SMK Lajau.

Aktiviti 18 Nilai Universal Moral, SMK Lajau

Program Cambahan Ilmu ini telah dikunjungi oleh Encik Yusup bin Mohamad, Pengarah Jabatan Pendidikan WP.Labuan. Turut hadir adalah Encik Yahya bin Ahmad Puteh (Timbalan Sektor Pembelajaran), Encik Ismail bin Abdullah (Pengerusi Majlis Pengetua Sekolah Malaysia-Labuan), Puan Murni binti Jaafar (Ketua Penolong Pengarah Unit Sains Sosial), Puan Suriani Alland Rice Oxley (SISC+ Unit Sains Sosial), para pengetua dan guru-guru Pendidikan Moral dan Pendidikan Seni Visual di WP Labuan.

Berita Oleh : Sektor Pembelajaran

Loading

image_pdfimage_print