Jabatan Pendidikan W.P. Labuan Tubuhkan Kumpulan Kugiran Pendidikan

Dari kiri Bryandevon Bin Dahreen (pemain ‘lead guitar’), Mohd Marzukqi bin Madun (vokalis), Suriani Alland Rice Oxley (SISC+), Yahya bin Ahmad Puteh (Timbalan Sektor Pembelajaran), Encik Yusup bin Mohamad (Pengarah Pendidikan WP Labuan), Denny Kindamin (pemain kibod), Romeno Suali (pemain ‘bass guitar’), Mohd Noor Izuan Anuar (jurutera bunyi), Eben Ezer Pengiran (pemain drum) dan Charlie Ginsin (vokalis).

Labuan, 03 Disember –  Jabatan Pendidikan WP.Labuan sekali lagi melakar sejarah dengan tertubuhnya kumpulan band atau kugiran pendidikan. Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan WP.Labuan, Encik Yusup bin Mohamad, selama 20 tahun kewujudan Jabatan Pendidikan WP.Labuan, inilah kali pertama Jabatan Pendidikan mempunyai kumpulan kugirannya sendiri.

Penubuhan kumpulan kugiran pendidikan ini yang telah diinisiatifkan oleh Sektor Pembelajaran dibawah Unit Sains Sosial adalah bertujuan untuk memartabatkan mata pelajaran pendidikan muzik di WP.Labuan. Ini adalah kerana mata pelajaran pendidikan muzik merupakan mata pelajaran yang boleh membantu mempertingkatkan pelbagai aspek perkembangan dan kemahiran murid-murid di sekolah. Melalui muzik dan nyanyian juga, tingkah laku yang positif di kalangan murid-murid dapat dipupuk.

Strategi untuk memartabatkan mata pelajaran pendidikan muzik ini telah diatur semenjak bulan Julai melalui aktiviti pementoran pengajaran dan pembelajaran (PdP) pendidikan muzik di bilik darjah oleh SISC+ Sains Sosial, bengkel asas bermain alat muzik dan teknik vokal kepada guru-guru muzik bukan opsyen oleh kumpulan fasilitator yang major dalam pendidikan muzik serta aktiviti pemantapan kemahiran bermain alat muzik dan vokal dalam kalangan guru-guru muzik yang opsyen melalui sesi ‘jamming’.

Selain guru-guru, strategi ini juga mensasarkan mana-mana warga pendidikan yang berbakat dan berminat dalam seni muzik untuk bersama-sama memartabatkan mata pelajaran pendidikan muzik ini melalui gandingan persembahan muzik dan nyanyian di atas pentas. Pemantapan kemahiran dalam teknik vokal, membaca not dan bermain alat muzik di kalangan guru-guru muzik akan membantu mereka untuk melaksanakan PdP pendidikan muzik yang berimpak.

Di majlis pelancaran penubuhan kumpulan kugiran pendidikan ini, Pengarah Jabatan Pendidikan WP.Labuan, Encik Yusup bin Mohamad telah melakukan gimik memetik gitar dengan diiringi oleh Timbalan Sektor Pembelajaran, Encik Yahya bin Ahmad Puteh. Selepas upacara gimik pelancaran, para tetamu dihiburkan dengan persembahan nyanyian lagu ‘Sway’, Original Sabahan dan Gemilang oleh kumpulan kugiran pendidikan yang terdiri daripada Cikgu Romeno Suali (SKK ST Anne) selaku pemain gitar bass, Cikgu Bryandevon Bin Dahreen (SK Pantai) selaku pemain ‘lead guitar’, Cikgu Eben Ezer Pengiran (SK Pekan Satu) selaku pemain drum, Encik Denny Kindamin (Sektor ICT) selaku pemain kibod dan Cikgu Charlie Ginsin (SJKC Chung Hwa) serta Encik Mohd Marzukqi bin Madun (SK Sungai Lada) sebagai vokalis utama kumpulan. Turut bersama di dalam kumpulan kugiran pendidikan ini ialah jurutera bunyi iaitu Cikgu Mohd Noor Izuan Anuar dari SSTP Labuan.

Tuan Pengarah JPN WP Labuan melakukan gimik memetik gitar dengan diiringi oleh kumpulan kugiran pendidikan. Turut bersama ialah Tuan Timbalan Sektor Pembelajaran (berdiri no.3 dari kiri) dan Puan Ketua Penolong Pengarah Unit Sains Sosial (berdiri no.1 dari kiri)

Encik Yusup bin Mohamad, Pengarah Jabatan Pendidikan WP.Labuan mengucapkan tahniah dan syabas kepada Timbalan Sektor Pembelajaran, Encik Yahya bin Ahmad Puteh, Ketua Penolong Pengarah Unit Sains Sosial Puan Murni binti Jaafar, Penolong Pengarah Unit Sains Sosial Encik Mohd Reno bin Mohd Idris dan ‘School Improvement Specialist Coaches’ (SISC+) Unit Sains Sosial iaitu Cikgu Suriani Alland Rice Oxley yang telah berjaya menguruskan penubuhan kumpulan kugiran pendidikan ini. Beliau juga mengucapkan tahniah dan merakamkan ucapan terima kasih kepada pasukan pemikir pendidikan muzik, kumpulan fasilitator muzik dan semua ahli kumpulan kugiran pendidikan terutamanya kepada para penyanyi dan pemain muzik yang terlibat dengan acara persembahan dimajlis pelancaran ini. Semoga inisiatif untuk memartabatkan mata pelajaran pendidikan muzik di WP.Labuan ini akan memberi impak kepada perkembangan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial murid-murid, guru-guru dan seluruh warga pendidikan di WP.Labuan.

Berita Oleh : Sektor Pembelajaran

Loading

image_pdfimage_print