Majlis Apresiasi Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah JPWPL

Encik Yahya bin Ahmad Puteh bersama Puan Suriani Alland Rice Oxley, Ketua Jurulatih Utama (no.2 dari kiri) dan Puan Faridah Amit, Penyelaras Bengkel dan Kolokium KT12L 2022 (no.4 dari kanan) bersama para tetamu di Majlis Apresiasi Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah

Labuan, 10 Disember – Jabatan Pendidikan WP. Labuan telah menganjurkan Majlis Apresiasi Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah bagi menghargai sumbangan semua pihak yang telah menjayakan penganjuran bengkel dan kolokium Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah (KT12L), peringkat kebangsaan bagi tahun 2022.

Majlis ini telah dilaksanakan di Hotel Tiara WP Labuan dengan dihadiri oleh 18 orang tetamu yang terdiri daripada para pegawai di Sektor Perancangan, barisan Jurulatih Utama, pasukan penyiar rasmi dan ahli jawatankuasa teknikal yang dilantik. Turut hadir bagi merasmikan majlis ini ialah Tuan Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran yang juga merangkap Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Jabatan Pendidikan WP Labuan, Encik Yahya bin Ahmad Puteh.

Di majlis ini, semua jurulatih utama, pasukan penyiar dan jawatankuasa teknikal diberikan sijil penghargaan di atas sumbangan mereka menjayakan bengkel dan kolokium KT12L 2022. Sebanyak 4 siri bengkel telah dilaksanakan yang bermula pada 18 Mei – 01 Julai 2022 melalui siaran langsung di YouTube dan aplikasi Google Classroom manakala acara kolokium pula telah dilaksanakan selama 3 hari bermula pada 15 – 17 Julai 2022 melalui siaran YouTube. Seramai 120 orang pembentang telah membentangkan kertas kajian tindakan mereka dengan menggunakan Teknik 12 Langkah iaitu satu teknik menjawab 12 soalan mudah bagi menghasilkan penulisan kajian tindakan yang dicipta oleh Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (SISC+) Labuan, Puan Suriani Alland Rice Oxley.

Dimajlis ini, turut diumumkan nama 5 orang peserta bengkel dan kolokium KT12L 2022 sebagai penerima anugerah iaitu Dr. Lingaswaran Arjunan dari SMK Menglembu, Perak (Anugerah Pembentang KT12L 2022 Terbaik), Puan Savina A/P A. Saiman dari SMK Seri Budiman Gerik, Perak (Anugerah Persembahan Video KT12L 2022 Terbaik), Puan Chung Fui Han dari SM All Saints Kota Kinabalu, Sabah (Anugerah Penulisan KT12L 2022 Terbaik), Puan Zaleha Binti Pump @ Pumb dari SMK Pantai, WP Labuan (Anugerah Khas Juri KT12L – Labuan Bisai 2022) dan Puan Hajah Ruhani Binti Said dari SM Sains Banting, Selangor (Anugerah Khas Juri KT12L – Semangat Waja 2022). Kesemua penerima anugerah masing-masing menerima sijil anugerah dan plak.

Teknik 12 Langkah dalam penulisan kajian tindakan ini telah menjadi produk utama Jabatan Pendidikan WP Labuan dalam membantu para pendidik untuk menambahbaik amalan mereka melalui kajian tindakan semenjak tahun 2018. Pada tahun 2022 ini, Teknik 12 Langkah telah berjaya dibukukan dan dilancarkan oleh Tuan Pengarah Jabatan Pendidikan WP.Labuan, Encik Yusup bin Mohamad pada 30 September 2022 di majlis perhimpunan bulanan pendidikan yang diadakan di Bilik Benua Sektor Sumber Teknologi Pendidikan WP Labuan. Kini, buku dan Teknik 12 Langkah ini bukan sahaja digunakan oleh para pendidik di WP Labuan malahan telah digunakan secara meluas di seluruh Malaysia.

Pengarah Jabatan Pendidikan WP.Labuan, Encik Yusup bin Mohamad merasmikan pelancaran buku Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah dengan disaksikan oleh (dari kiri) Puan Maimoon binti Haji Matnoh, Puan Suriani Alland Rice Oxley, Puan Faridah Amit, En Yahya bin Ahmad Puteh dan Encik Mohd Nizam bin Yasim.

Dari gambar kiri : Encik Yahya bin Ahmad Puteh menyampaikan sijil penghargaan kepada Encik Hasnan Mohd Saad (Jurulatih Utama), Puan Samsuria Ebni (Ketua Penyiaran) dan Encik Jefery bin Undang (AJK Teknikal).

Puan Suriani Alland Rice Oxley menyerahkan buku Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah kepada Datuk Pkharuddin Ghazali (Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia) sambil disaksikan oleh Tuan Raisin bin Saidin (Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian), Encik Yusup bin Mohamad (Pengarah Jabatan Pendidikan WP.Labuan) dan En Yahya bin Ahmad Puteh (Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran JPN WP Labuan)

Berita Oleh : Sektor Pembelajaran

Loading

image_pdfimage_print