Program Peningkatan Akademik Bagi Mata Pelajaran Bahasa Melayu UPSR

LABUAN, Sabtu – Sekolah Kebangsaan Rancha-Rancha (Sekolah Kluster Kecemerlangan) mengadakan Program Peningkatan Akademik bagi mata pelajaran Bahasa Melayu UPSR pada 22 April 2017 bertempat di Dewan Mini Anjung Budaya, Perbadanan Labuan Layang-Layangan. Program ini disertai seramai 41 orang murid calon UPSR SK Rancha-Rancha dan 62 orang dari 15 buah sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan.

            Penceramah jemputan program peningkatan ini ialah Encik Mat Ariffin bin Ismail yang merupakan penulis buku teks tahun 6 KSSR (2015). Beliau juga merupakan seorang penulis modul KSSR (BPK) Kementerian Pendidikan Malaysia (2011-2015). Selain itu, beliau juga merupakan seorang jurulatih kebangsaan (KBSR) (KSSR) (DSKP).

            Program ini merupakan kesinambungan program tahunan yang telah dirancang bagi mengukuhkan keyakinan diri, memberi kesedaran dan memantapkan persediaan awal murid-murid sebelum menghadapi UPSR pada September 2017. Selain itu, objektif program ini adalah untuk memantapkan kemahiran murid menjawab soalan kertas pemahaman dan penulisan Bahasa Melayu UPSR dengan menggunakan teknik dan kaedah menjawab yang betul dan tepat. Bagi guru-guru pula, program ini dapat meningkatkan kemahiran pedagogi mereka dalam kaedah mengajar murid menjawab soalan dengan tepat dan betul.

            Guru Besar SK Rancha-Rancha (Sekolah Kluster Kecemerlangan), Norinnie binti Kassim dalam ucapannya berharap agar program ini dapat memberi impak kepada semua murid yang menyertai program ini. Beliau juga berharap melalui perkongsian ilmu dan pengalaman penceramah akan membantu meningkatkan prestasi subjek Bahasa Melayu di Wilayah Persekutuan Labuan dalam UPSR pada tahun ini.

            Norinnie turut mengucapkan terima kasih kepada guru dan murid dari 15 buah sekolah yang menyertai Program Peningkatan Akademik 2017 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu. Beliau juga berharap program ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi meningkatkan kecemerlangan prestasi Bahasa Melayu UPSR khususnya SK Rancha-Rancha dan amnya Wilayah Persekutuan Labuan. Sebagai sebuah sekolah kluster kecemerlangan adalah menjadi tanggungjawab sekolah untuk membantu dalam peningkatan pencapaian akademik di Wilayah Persekutuan Labuan.

     

Loading

image_pdfimage_print

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.