Pengukuhan Sukan Sepak Takraw Sekolah Rendah Labuan

Labuan, 9 Dis – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) dengan kerjasama Bahagian Sukan kokurikulum dan kesenian (BSKK) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengadakan Program Pengukuhan Sukan Sepak Takraw sekolah rendah bertempat di Dewan Arena Bukit Kuda pada 7 dan 8 Disember baru-baru ini.

Pegawai BSKK, Encik Badrol Nizam bin Hamzah dalam ucapannya berkata, pihak KPM telah melakukan road show ke semua negeri bagi program pengukuhan sukan sepak takraw ini dan W.P. Labuan merupakan negeri terakhir dalam misi tersebut.

Beliau berkata, sekiranya murid mempunyai potensi untuk diketengahkan, mereka ini akan dibawa ke pusat latihan daerah, sekolah sukan negeri atau sekolah sukan Malaysia. Peluang yang sangat cerah untuk mereka menyambung pelajaran di pusat pengajian tinggi dalam bidang Sains Sukan.

“Program ini adalah sebahagian daripada usaha KPM untuk memberi ruang seluas-luasnya kepada murid sekolah menonjolkan kebolehan dan bakat masing-masing.”

“Ini adalah satu usaha menyeluruh untuk melihat dan memastikan potensi murid dapat dioptimumkan selain mengesan bakat sukan baharu”.

Menurut penyelaras program Encik Aznan Abidin, Program Pengukuhan Sukan Sepak Takraw ini membabitkan 5 buah sekolah di WP Labuan iaitu SK Kerupang, SK Sungai Bedaun , SK Tanjung Aru ,SK Pantai dan SK Bebuloh dengan penyertaan seramai 40 orang murid beserta jurulatih masing-masing.

Program ini telah dibimbing oleh 3 mentor daripada jurulatih sepak takraw negara iaitu Encik Hasrul Abd Halim dan Encik Azmi bin Abd Ghani dari Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Bandar Penawar Johor dan Encik Mohd Faisal bin Mohamad daripada Sekolah Sukan Malaysia Terengganu.

Loading

image_pdfimage_print