Majlis Restu Ilmu Membakar Semangat Calon SPM SMK Taman Perumahan Bedaun

Sesi Bergambar Guru-guru Bersama Wakil Ibu Bapa Murid Tingkatan 5 SMK Taman Perumahan Bedaun

Labuan, 27 Januari – Unit Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun telah menjalankan Majlis Restu Ilmu Calon SPM tahun 2022. Majlis Restu Ilmu yang telah dijalankan bertujuan untuk melahirkan murid-murid tingkatan 5 SMK Taman Perumahan Bedaun yang berbudi luhur, berketrampilan, berdaya saing dan cemerlang. Selain itu, Majlis Restu Ilmu Calon SPM bertujuan untuk membimbing dan memupuk nilai hormat menghormati serta sikap menghargai ibu bapa dan guru dalam diri murid.

Majlis Restu Ilmu tersebut dimulakan dengan nyanyian lagu “Negaraku’, lagu Wilayah Persekutuan “Maju dan Sejahtera” dan lagu Rasmi Sekolah “Berwawasan, Progresif dan Cemerlang”. Bacaan doa khas majlis dan kejayaan para calon SPM tahun 2022 dipimpin oleh Ustad Nik Muhamad Fazli bin Nik Abdul Razak.

Manakala, ucapan wakil murid disampaikan oleh adik Maizura Mazliani binti Mazlan dan ucapan wakil ibu bapa disampaikan oleh YDP PIBG, Encik Heidar Hussein bin Md Rashid.

“Murid-murid calon SPM haruslah sentiasa menjadikan harapan ibu bapa sebagai motivasi menghadapi SPM kerana ibu bapa sentiasa mendoakan kejayaan anak-anak.” Encik Heidar Hussein.

Turut hadir sepanjang majlis dijalankan, pengetua, Puan Norazita binti Md Nor @ Shamsuri, guru Penolong Kanan HEM, Encik Awang Adie bin Tuah, guru Penolong Kanan Kokurikulum, Encik Yee Choon Hian, kaunselor, guru-guru tingkatan 5, 23 orang ibu bapa murid tingkatan 5.

Ketua-ketua panitia mata pelajaran tingkatan 5 turut terlibat dalam sesi penyampaian ‘Hot Tips” SPM. Diakhiri dengan ucapan dan kata-kata semangat oleh pengetua Puan Norazita binti MD Nor @ Shamsuri.

Kemudian, murid-murid calon SPM mohon restu guru-guru dan ibu bapa dengan berpandukan SOP fasa endemik Covid-19 yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Guru Ketua Panitia Mata Pelajaran Tingkatan 5 Menyampaikan “Hot Tips” Kepada Calon SPM

Acara Majlis Restu Ilmu Calon SPM diteruskan dengan sesi bergambar YDP PIBG dan guru-guru bersama wakil ibu bapa murid dan murid tingkatan 5.

Sebanyak 88 set cenderahati sumbangan daripada koperasi sekolah SMK Taman Perumahan Bedaun diagihkan kepada murid-murid calon SPM sebagai simbolik persiapan murid menghadapi peperiksaan SPM.

Majlis Restu Ilmu Calon SPM tahun 2022 SMK Taman Perumahan Bedaun ditutup dengan acara jamuan ringan ibu bapa dan murid tingkatan 5.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Loading

image_pdfimage_print