Majlis Apresiasi Murid Menjadi ‘Booster’ Motivasi Murid SMK Taman Perumahan Bedaun

GAMBAR: Sesi Bergambar tuan YDP PIBG (jubah hijau) Bersama Pengetua, Guru-guru, Para Ibu Bapa dan Murid-murid Penerima Anugerah

LABUAN, 16 Februari 2023 : Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun telah menjalankan Majlis Apresiasi Murid tahun 2022.

Majlis yang diselaraskan oleh penyelaras program, Puan Syafiqah Binti Nordin, tersebut dianjurkan oleh bidang Kurikulum, Kokurikulum dan Hal Ehwal Murid. Majlis ini bertujuan untuk memberi penghargaan kepada murid-murid yang cemerlang serta berpotensi dalam bidang akademik, kokurikulum dan kepimpinan.

Majlis Apresiasi Murid juga bertujuan untuk memupuk emosi murid-murid agar berazam ingin maju, berlumba-lumba menuju kejayaan dan setanding dengan orang yang telah berjaya. Selain itu, Majlis Apresiasi Murid bertujuan untuk mengembangkan bakat murid dari segi kepimpinan, keyakinan terhadap diri sendiri, individu yang berpengetahuan, berkebolehan dan berkemahiran.

Majlis Apresiasi Murid menjadi pencetus kerjasama yang baik antara ibu bapa atau penjaga murid dengan pihak pentadbiran dan guru-guru juga menjadi tujuan utama Majlis Apresiasi Murid dijalankan.

Majlis Apresiasi Murid dimulakan dengan nyanyian lagu “Negaraku’, lagu Wilayah Persekutuan “Maju dan Sejahtera” dan lagu Rasmi Sekolah “Berwawasan, Progresif dan Cemerlang”. Bacaan doa khas Majlis Apresiasi Murid dipimpin oleh Ustad Nik Muhamad Fazli bin Nik Abdul Razak.

Puan Norazita Binti Md Nor @ Shamsuri, Pengetua SMK Taman Perumahan bedaun dalam amanatnya berkata :

“Murid-murid yang menerima anugerah haruslah bersyukur dengan anugerah yang diperolehi, semoga majlis ini menjadi ‘booster’ motivasi kepada murid dan calon SPM haruslah membuat persiapan 200% dari sekarang untuk menghadapi peperiksaan SPM.”

Majlis Apresiasi Murid dirasmikan oleh YDP PIBG, Encik Heidar Hussein bin Md Rashid dengan paluan gong.

Turut hadir sepanjang majlis dijalankan, Pegawai Angkat Sekolah, Encik Mohd Nazri bin Mustapa, guru Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Chai Yee San, guru Penolong Kanan HEM, Encik Awang Adi bin Tuah, guru Penolong Kanan Kokurikulum, Encik Yee Choon Hian, kaunselor, guru-guru, staf dan 70 orang ibu bapa murid penerima anugerah.

Persembahan multimedia peristiwa sekolah tahun 2022/2023 membuka tirai acara penyampaian hadiah dan sijil Majlis Apresiasi Murid.

Majlis penganugerahan dimulakan dengan penyampaian hadiah dan sijil bagi bidang Kokurikulum. Selepas persembahan 1, majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah dan sijil bagi bidang Kurikulum. Majlis penyampaian hadiah dan sijil bagi bidang Hal Ehwal Murid diteruskan selepas persembahan 2 dijalankan.

Pengetua Puan Norazita  (tengah) menyampaikan sijil dan hadiah kepada murid yang menerima anugerah dalam bidang kurikulum demgam diiringi oleh guru penolong kanan kurikulum, puan Chai Yee San.
YDP PIBG Encik Heidar Hussien  (tengah) menyampaikan sijil dan hadiah kepada murid cemerlang SPM 2021 Jerilyn Madius  demgam diiringi oleh pengetua Puan Norazita.
Pengawai Angkat Sekolah, Encik Mohd Nazri  (tengah) menyampaikan sijil dan hadiah kepada murid yang menerima anugerah dalam bidang kokurikulum demgam diiringi oleh guru penolong kanan kokurikulum, Encik Yee Choon Hian.

Kemudian, majlis graduasi khas murid tingkatan 5 tahun 2022 dijalankan selepas pengetua sekolah, Puan Norazita melafazkan kebenaran meneruskan sesi graduasi murid tingkatan 5. YDP PIBG, Encik Heidar Hussein melafazkan perasmian penutupan Majlis Apresiasi Murid tahun 2022 setelah sesi graduasi murid tingkatan 5 selesai.  

“Komitmen ibu bapa dalam program-program sekolah seperti Majlis Apresiasi Murid adalah sangat penting kerana tanpa sokongan para ibu bapa murid, tidak ada program yang dijalankan oleh pihak sekolah dapat dijayakan.” kata encik Heidar Hussein dalam ucapan perasmiannya.  

Majlis Apresiasi Murid SMK Taman Perumahan Bedaun ditutup dengan acara sesi bergambar YDP PIBG, Pegawai Angkat Sekolah, pengetua, guru-guru, para ibu bapa bersama murid-murid penerima anugerah.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Encik Heidar Hussein (YDP PIBG) Merasmikan Majlis Apresiasi Murid Dengan Paluan Gong

Loading

image_pdfimage_print