Memperingati Detik-Detik Penurunan Al-Quran Kepada Nabi Muhammad SAW

Puan Norazita (dua kiri) diringi Ustaz Nik Muhamad Fazli menyampaikan sijil penghargaan kepada Penceramah, Ustaz Ahmad Fariz

Labuan, 17 April – Sambutan Nuzul Al-Quran merupakan suatu acara tahunan yang diadakan di seluruh negara pada setiap tanggal 17 Ramadan. Tujuannya adalah bagi mengingati peristiwa Penurunan Al-Quran buat kali pertama kepada Nabi Muhammad SAW yang disampaikan oleh Malaikat Jibril daripada Allah SWT. Pada tahun ini, SMK Taman Perumahan Bedaun juga turut tidak melepaskan peluang mengadakan sambutan Nuzul Al-Quran. Sambutan ini dianjurkan oleh pihak Panitia Pendidikan Islam dengan menjemput penceramah luar bagi menyampaikan ceramah dan input penting kepada warga sekolah.

Sambutan Nuzul Al-Quran diperingkat SMK Taman Perumahan Bedaun dilaksanakan pada 14 April 2023 bersamaan pada pagi hari Jumaat. Ianya bermula pada pukul 7 pagi dengan bacaan 10 ayat dari Surah Al-Kahfi dan disusuli dengan bacaan Al-Ma’thurat di dataran Bedaun. Pada jam 7.30 pagi pula, bermulalah agenda utama iaitu Ceramah Nuzul Al-Quran yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Fariz Bin Mohd Zaini, Guru pendidikan Islam SK Kerupang. Turut hadir, seramai 32 orang guru dan 350 orang murid beragama Islam.

Antara intipati ceramah yang telah disampaikan adalah berkaitan dengan Sejarah Penurunan Al-Quran yang terdiri dari 3 peringkat Penurunan. Beliau juga berkongsi tentang detik-detik pertama kalinya Nabi Muhammad SAW menerima wahyu yang pertama iaitu ayat 1 hingga 5 dari surah Al-Alaq dan keadaan Baginda yang ketakutan lantas turun dari Gua Hira pulang ke rumah baginda. Diringkaskan cerita, isteri baginda Saidatina Khadijah Al-Kubra telah merujuk kepada saudaranya iaitu Waraqah Bin Naufal akan peristiwa yang telah berlaku kepada suaminya dan telah mendapati bahawa Baginda SAW telah dilantik menjadi Rasul akhir zaman.

Ceramah disampaikan oleh Ustaz Ahmad Fariz Bin Mohd Zaini
Barisan guru yang turut memeriahkan program

Penceramah juga telah berkongsikan tentang kepentingan Al-Quran dalam hidup manusia sebagai petunjuk dan rujukan bagi yang hak dengan yang batil. Pada akhir ceramah beliau telah berkongsi satu hadis Nabi SAW berkaitan perumpamaan kategori orang mukmin yang membaca Al-Quran iaitu hadis daripada Abi Musa RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Perumpamaan orang mukmin yang membaca al-Quran seperti buah Utrujah (limau sitrus), rasanya enak dan baunya wangi. Dan perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah Kurma, rasanya enak tetapi tidak berbau”. [Riwayat al-Bukhari (7560) dan Muslim (797)]

Beliau sempat menyelitkan satu lagi peristiwa besar yang juga berlaku pada 17 Ramadan tahun ke-2 hijrah iaitu peperangan Badar Al-Kubra. Ianya merupakan peristiwa besar yang telah berlaku selepas Baginda berhijrah ke Madinah.

Ceramah Nuzul Al-Quran ini telah usai pada jam 8.30 pagi iaitu telah berlangsung selama 1 jam. Walau ianya tidaklah merupakan suatu tempoh yang lama, namun sarat dengan maklumat dan ilmu baru yang diperolehi bukan sahaja kepada murid-murid bahkan seluruh warga sekolah. Sambutan ini telah menerima maklum balas yang sangat menggalakan dari warga sekolah dan diharapkan akan diadakan lagi pada masa yang akan datang.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Suasana semasa ceramah disampaikan
Sesi bergambar bersama warga SMKTPB

Loading

image_pdfimage_print