PERSIDANGAN PENGURUSAN PENDIDIKAN PENGETUA –PENGETUA SEKOLAH MENENGAH SABAH DAN WP LABUAN KALI KE 47 TAHUN 2023

Labuan – Persidangan Pengurusan Pendidikan Pengetua –Pengetua Sekolah Menengah Sabah Dan WP Labuan Kali Ke 47 Tahun 2023 telah diadakan pada 13-15 Jun 2023 di Palm Beach Resort WP Labuan. Seramai 221 orang pengetua dari seluruh Sabah dan 11 orang pengetua dari WP Labuan telah menyertai persidangan tersebut yang membawa tema  “Kepimpinan Berkualiti Merealisasikan Pendidikan Insaniah”

Persidangan tersebut dianjurkan oleh Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sabah (PPSMS) dengan kerjasama Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) WP Labuan.

Persidangan tahunan yang dikelolakan secara bergilir antara zon PPSMS Sabah, kali ini dianjurkan oleh PPSMS Zon Ranau, Tuaran dan Kota Belud yang dipengerusikan oleh Pengerusi PPSMS Ranau iaitu Encik Marcus Shapi serta dibantu oleh MPSM WP Labuan.

Persidangan selama 3 hari tersebut padat dengan pengisian yang sangat penting dan bertepatan dengan tema persidangan iaitu “Kepimpinan Berkualiti Merealisasikan Pendidikan Insaniah”

Ucap Utama Persidangan bertajuk “Karamah Insaniah Dalam Pendidikan” disampaikan oleh YBhg. Datuk Dr Amin bin Senin, Pengerusi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan, mengupas konsep Karamah Insaniah atau Kemuliaan Insan yang merangkumi Keadilan Peluang, Pembangunan Potensi, Pendidikan Holistik, Kebebasan Berfikir dan Kreativiti serta Pembelajaran Sepanjang Hayat. Juga ditekankan tentang kepimpinan pengetua sebagai pemimpin pendidikan untuk memastikan konsep Karamah Insaniah ini difahami dan dibudayakan.

Dr Amin Senin (3 dari kiri) bersama tetamu kehormat

Majlis Perasmian Persidangan disempurnakan oleh Tuan Haji Abidin Marjan, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah yang mewakili Tuan Raisin Saidin Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

Antara intipati ucapan beliau ialah KPI Gred Purata Negeri (GPN) SPM boleh dicapai dengan amalan kepimpinan kolaboratif, penerapan nilai ABC dalam kalangan pelajar, pembudayaan STEM dalam melahirkan generasi cemerlang abad ke 21, kejayaan pemimpin pendidikan Sabah menjadi teladan untuk pengetua, serta dorongan kepada guru yang berpotensi menjadi pemimpin pendidikan.

Dalam majlis yang sama Tuan Haji Abidin juga menyampaikan Anugerah Tokoh Pengetua Sabah yang dianugerahkan kepada YBhg. Datin Seri Panglima Datuk Dr. Hajah Nuinda binti Haji Alias yang juga merupakan Tokoh Guru Kebangsaan 2023.

Sesi Bicara Profesional disampaikan oleh Puan Jennifer Asing, Pengetua Cemerlang JUSA C SMK St Michael, Penampang. Beliau menyampaikan perkongsian bertajuk “My Odyssey From Ordinary Teacher To JUSA C”. Beliau menjelaskan perkara-perkara dan proses yang perlu sebagai persediaan seseorang pengetua dalam permohonan sebagai Pengetua Cemerlang JUSA C.

Majlis Makan Malam “Mirumoh-Rumoh” tajaan Kerajaan Negeri Sabah disempurnakan oleh YBhg. Prof Madya Datuk Ts Dr. Ramzah Dambul, Pegawai Eksekutif Institute For Development Studies (IDS) yang mewakili YB Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Menteri Kewangan Negeri Sabah. Beliau juga menyampaikan Sijil Penghargaan kepada Pengetua Bersara, Pengetua Yang Bertukar Jawatan serta hadiah Pertandingan Golf sempena persidangan yang dimenangi oleh Encik Mike Eping Pengetua SMK Gunsanad II Keningau.

Majlis Penutupan Persidangan disempurnakan oleh Encik Yahya bin Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan WP Labuan, mewakili Encik Yusup bin Hj Mohamad Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Beliau menekankan tentang pengetua sebagai pemimpin perlu mempunyai dinamika kepimpinan iaitu mempunyai kekuatan rohani, jasmani, jiwa, adab, idealisme, komited dan mempunyai daya juang yang kental dan berpandangan jauh agar dapat mendepani pelbagai cabaran yang mendatang.

Encik Yahya (tengah) menerima cenderahati daripada Encik Ismail

Sepanjang persidangan juga 4 pameran pendidikan telah disediakan untuk kunjungan peserta-peserta persidangan iaitu Pameran Intervensi Komik Nilai (Kolaborasi Panitia Pendidikan Moral dan Pendidikan Seni Visual SMK Pantai), Pameran Intervensi Emotion Expression (Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Pantai), Pameran Kajian Tindakan Junior (SM St Anne) dan Pameran Rancha’s Radio (SMK Rancha-Rancha).

Antara kepimpinan PPSMS dan MPSM WP Labuan yang hadir sepanjang persidangan ialah Encik Ajmal Hj Jumah, Presiden PPSMS, Encik Ismail Abdullah Yang DiPertua MPSM WP Labuan, Dr Rabe Johari Timbalan Presiden PPSMS serta Encik Marcus Shapi Pengerusi PPSMS Ranau merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Persidangan.

Persidangan ini telah memberi ilmu pengetahuan berguna kepada semua peserta dari pelbagai sudut kepimpinan dan diharap akan memberi impak kepada peningkatan kualiti kepimpinan mereka di sekolah masing-masing.

Persidangan kali ke 48 tahun 2024 akan dikelolakan oleh Zon Selatan iaitu PPSMS Papar, Beaufort, Sipitang dan Kuala Penyu.

Berita Oleh : MPSM WP Labuan

Barisan Pengetua Sekolah W.P Labuan
Cenderhati kepada Ts Dr Ramzah

Loading

image_pdfimage_print