FORUM BAITI JANNATI: ANAK YANG BAIK LAGI CERDIK BERLANDASKAN AL-QURAN DAN SUNNAH CETUSKAN INSPIRASI DAN MARTABATKAN KELAS ALIRAN AGAMA SSN SMK MUTIARA

LABUAN, 5 OGOS 2023. Penyelaras Kelas Kemahiran Quran, Kelas Aliran Agama SSN SMK Mutiara dengan Kerjasama Persatuan Ulama’ Malaysia telah berjaya menganjurkan  forum Baiti Jannati: Anak Yang Baik Lagi Cerdik Berlandaskan Al-Quran Dan Sunnah pada 5 Ogos 2023 bertempat di Dewan Kuliah Utama, Institut Latihan Perindustrian, Labuan. Sokongan dan kolaborasi yang mantap juga diberikan oleh pihak pentadbiran Institut Latihan Perindustrian (ILP Labuan), Pertubuhan Kegiatan Dakwah Islamiah Sekolah-Sekolah (PEKDIS), Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG SSN SMK Mutiara) dan Persatuan Anak Muda Labuan (PAMULA) bagi menjayakan diskusi ilmiah ini buat masyarakat di Wilayah Persekutuan Labuan. Program ini telah dirasmikan oleh Puan Noraini binti Hj Sabudin, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Tambahan pula, Encik Hisham Abdul Aziz yang merupakan Penolong Kanan Pentadbiran SSN SMK Mutiara menyatakan bahawa pembentukan anak yang baik lagi cerdik itu bukan sahaja mampu memacu kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan. Bahkan, ianya juga mampu mengukir senyuman pada wajah ibu ayah tercinta serta disukai masyarakat.

Seramai 170 orang telah menyertai program ini dengan jayanya melibatkan murid dari SSN Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara, pelajar Institut Latihan Perindustrian Labuan, Madrasah Tahfiz Al Quran Sri Merinding serta masyarakat sekitar. Ustaz Muhammad Izzuddin selaku penyelaras program dan moderator forum telah menjemput dua orang panel program yang dibawakan khas dari Universiti Malaya iaitu Prof. Dr Mohd Roslan Bin Mohd Nor dan Dr. Mohd Safwan Bin Harun. Penglibatan aktif dua tokoh cendekiawan ini dalam hal ehwal islam di negara kita tidak dapat disangkal lagi apabila Prof Roslan dan Dr Safwan menekankan bahawa pembentukan peribadi anak yang baik lagi cerdik berlandaskan Al-Quran dan Sunnah merupakan strategi terbaik dan ampuh dalam membentuk keluarga bahagia serta memartabatkan konsep yang sering diungkapkan oleh Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia, Dato Hj Pkharuddin Hj Ghazali. Tujuan penganjuran program ini adalah untuk memantapkan institusi kekeluargaan ke arah pencapaian yang cemerlang dalam diri pelajar yang baik lagi cerdik serta penerapan karamah insaniah dalam pembangunan masyarakat dan negara.

Prof Dr Mohd Roslan Bin Mohd Nor, Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya menekankan bahawa pendekatan pendidikan anak-anak berlandaskan Al-Quran merupakan tunjang utama dalam merealisasikan slogan Anak yang baik lagi cerdik. Selain itu, Dr Mohd Safwan Bin Harun, Pensyarah Kanan Universiti Malaya menjelaskan bahawa pelaksanaan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah merupakan elemen penting bagi menentukan kejayaan seseorang pelajar. Antara amalan yang boleh diaplikasikan ialah bersedekah, solat pada malam hari, berdoa dan bersangka baik dengan takdir Allah. Ucapan terima kasih juga diucapkan kepada Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan  yang telah memberikan sumbangan kewangan demi menjayakan program yang berimpak ini. Semoga segala jasa baik yang diberikan oleh semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini akan menjadi wasilah dan bekalan baik kita semua untuk agama, bangsa dan negara.

Poster Program Baiti Jannati: Anak Yang Baik Lagi Cerdik Berlandaskan Al-Quran Dan Sunnah.
Duduk dari kanan: Dr. Mohd Safwan Bin Harun merupakan pensyarah kanan Jabatan Fiqh dan Usul Universiti Malaya, Prof Dr Roslan Bin Mohd Nor selaku Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya serta Ustaz Muhamad Izzuddin Bin Mahamad Nazeri dari SSN SMK Mutiara.
Para peserta sedang mengalunkan zikir asmaul husna sebelum forum bermula
Ucapan perasmian disampaikan oleh Puan Noraini binti Hj Sabudin, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.
Prof Dr Mohd Roslan Bin Mohd Nor dan Dr Mohd Safwan Bin Harun mewakili Persatuan Ulama’ Malaysia menyampaikan cenderahati kepada Encik Hisham Bin Abdul Aziz, Penolong Kanan Pentadbiran SSN SMK Mutiara.
Sesi fotografi guru-guru SSN SMK Mutiara sebagai tanda kenang-kenangan bersama Prof. Dr Mohd Roslan Bin Mohd Nor dan Dr Mohd Safwan Bin Harun.

Loading

image_pdfimage_print