SMK Rancha-Rancha Raih 2  Anugerah TVPSS Peringkat Kebangsaan 2023

Nasrullah Hanudin Naib Johan Ikon Pengawas Pusat Sumber Sekolah Peringkat Kebangsaan 2023

Anuegerah TV Pusat Sumber Sekolah peringkat kebangsaan tahun 2023 merupakan satu bentuk penghargaan kepada sekolah dan pelajar yang bergerak aktif dalam media khususnya dalam pengurusan media pusat sumber. Pada tahun ini, SMK Rancha-Rancha telah berjaya masuk ke peringkat akhir untuk 2 kategori iaitu  Studio TV PSS dan Ikon Pengawas Pusat Sumber Sekolah. Pertandingan TV PSS menjadi idaman pusat sumber sekolah seluruh negara lantaran mempertaruhkan kemenjadian pelajar dari pelbagai aspek bukan sahaja dalam bidang kewartawanan.

Saudara Nasrullah bin Hanudin telah berjaya menjadi naib johan peringkat kebangsaan untuk kategori Ikon Pengawas Pusat Sumber Sekolah. Kejayaan ini membolehkan ia membawa pulang piala kemenangan dan sijil pengiktirafan. Cikgu Sapri Idris menjelaskan kejayaan yang dirangkul oleh pelajar SMK Rancha-Rancha tersebut menjadi kebanggaan warga sekolah dan pelajar di W.P Labuan kerana kejayaan ini merupakan kejayaan julung kalinya dicapai oleh pelajar di W.P Labuan dalam kepimpinan pengurusan dan sahsiah serta akademik. Dalam masa yang sama ketika diajukan soalan oleh wartawan TVPSS tentang kunci kejayaan yang dicapainya pada hari tersebut , Nasrullah menzahirkan kesyukuran atas kejayaannya berkat sokongan kuat ibu-bapanya, bimbingan berterusan daripada cikgu Sapri Idris dan kerjasama daripada rakan-rakannya khususnya pengawas pusat sumber sekolah.

Selain memenangi anugerah Ikon Pengawas Pusat Sumber Sekolah, SMK Rancha-Rancha juga telah berjaya meraih tempat ketiga untuk Kategori Studio TV Pusat Sumber. Pengasas studio Ranchas TV iaitu Cikgu Sapri Idris berharap pada tahun-tahun seterusnya SMK Rancha-Rancha akan menjadi Johan di peringkat kebangsaan untuk kategori tersebut. SMK Rancha-Rancha telah memiliki 2 studio TV iaitu Studio Ranchas TV dan Studio TV Green Screen.  

Mohd Diniy Kamil, Mohd Adzharul Afiq Hairul Afizul , Abdullah Mohd Nor dan Shamrez Shaukat Ali Balquch memenangi tempat Ketiga Studio TVPSS Peringkat Kebangsaan 2023

Tuan pengetua Ustaz Wan Azman bin Wan Awang berasa sungguh bersyukur atas kemenangan yang diraih oleh Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha pada tahun ini di peringkat kebangsaan. Beliau berkata kemenangan ini akan menjadi pembakar semangat kepada guru-guru dan pelajar di sekolahnya dan juga di W.P Labuan untuk mencipta kejayaan khususnya dalam bidang kepimpinan dan ketrampilan . Harapan beliau agar guru-guru di SMK Rancha-Rancha akan lebih banyak melahirkan pelajar yang berpotensi dan berkarisma.

Pada tahun ini majlis Anugerah TV PSS Peringkat Kebangsaan telah diadakan pada 10 Oktober 2023 bertempat di Pusat Sains Kreativiti Terengganu. Pelbagai aktiviti telah dirancang sebelum majlis penyampaian dijalankan antaranya perkongsian Bersama Dato Seri Wan Muhd Ali bin Wan Ahmad ( Content Creator Youtube ) , Jelajah ke Pusat Sains Kreativiti Terengganu, Lawatan ke Tapak Konten TV PSS Zon Timur. Majlis telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Penolong Pengarah  Malaysia Ybrs Dr Ahmad Rafee bin Che Kassim  Sektor Operasi Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Turut mengiringi rombongan penerima anugerah Majlis Pengiktirafan TV PSS Peringkat Kebangsaan 2023 ini ialah Puan Norsiah binti Sulaiman dan Puan Malai Hasnah binti Malai Ahmad, Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan W.P. Labuan.

Berita Oleh : SMK Rancha-Rancha

Tuan Awang Marten Datuk Haji Abd Rahman , Ustaz Wan Azman bin Wan Awang, pegawai SSTP Labuan serta barisan guru SMK Rancha-Rancha menyambut kepulangan untuk meraikan Cikgu Sapri Idris dan Nasrullah Hanudin di Lapangan Terbang W.P Labuan.

Loading

image_pdfimage_print