IDEA BARU SSN SMK MUTIARA JAYAKAN KEM PEMANTAPAN SAHSIAH

Oleh: Muhammad Izzuddin Bin Mahamad Nazeri

 

LABUAN, 21 OKTOBER 2023: Seramai 130 orang pelajar daripada 10 buah sekolah telah menyertai Kem Pemantapan Sahsiah peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang dianjurkan oleh SSN SMK Mutiara. Objektif program ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk membentuk  sahsiah yang unggul dan terpuji serta menerapkan elemen karamah insaniah bagi menjayakan aspirasi anak yang baik lagi cerdik. Program ini berlangsung selama dua hari bermula dengan sesi E-Ceramah yang bertajuk ‘’Teladan Terbaik Sepanjang Zaman: Mencari Syurga dengan Akhlak Nabi” yang disampaikan oleh Pencetus Ummah Akram Ikrami. Beliau menekankan amalan berselawat kepada nabi Muhammad saw sebanyak 300 kali akan mempermudahkan segala urusan harian kita serta dimurahkan rezeki.

Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah slot ceramah, latihan dalam kumpulan dan amalan penghayatan islam. Slot pertama dimulakan dengan ceramah yang bertajuk Sahsiah Terpuji, Akhlak Diteladani yang disampaikan oleh Tn. Hj. Norazlan Bin Mahmood. Beliau juga menekankan bahawa kepentingan berakhlak mulia merupakan tunjang utama kejayaan sebagai seorang pelajar. Selain itu, para peserta juga menunaikan solat dhuha secara berjemaah. Pemantapan amalan penghayatan islam melalui solat dhuha ini merupakan rahsia utama kejayaan yang cemerlang telah dikecapi oleh golongan yang berjaya.

Seterusnya, slot ceramah yang kedua pula disampaikan oleh Ustaz Ibrahim Bin Che Mad yang bertajuk Penghayatan Al-Quran membentuk Sahsiah Unggul. Beliau mengingatkan kepada pelajar agar tidak meninggalkan bacaan Al-Quran dalam amalan seharian. Selanjutnya, sesi petang pula diteruskan dengan aktiviti didik hibur yang bertajuk ‘’Menyingkap Rahsia Kejayaan dalam Perang Badar’’ yang dikelolai oleh Ustaz Muhammad Izzuddin Bin Mahamad Nazeri, Penyelaras Kem Pemantapan Sahsiah 2023. Segmen Perang Badar: Aura Al-Qassam ini telah mencetuskan  detik  kegembiraan dan terpancar kepuasan pada wajah para peserta melalui aktiviti perang belon air. Para peserta akan bertempur menggunakan belon air sebagai senjata dan berusaha mengatur strategi bagi menawan kubu pasukan pihak lawan.

Akhir Sekali, majlis penutupan kem pemantapan sahsiah peringkat Wilayah Persekutuan Labuan tahun ini telah dirasmikan oleh Puan Hajjah Kamariah Binti Salim, Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan. Beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tuan Pengetua SSN SMK Mutiara, Encik Awang Rozlan Bin Manan dan seluruh jawatankuasa kerja Kem Pemantapan Sahsiah kerana telah berjaya membawa idea baru dan kelainan dengan pelaksanaan aktiviti yang sangat menarik, segar dan lari daripada kebiasaan. Tambahannya pula, para peserta dan guru pengiring sangat menunjukkan penglibatan yang aktif dan produktif sepanjang program berlangsung.

 

Sesi bergambar tanda kenang-kenangan, melibatkan para peserta, urusetia dan juga pengiring bersama Puan Hajjah Kamariah Binti Salim, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam JPWPL dan Pengetua SSN SMK Mutiara, Encik Awang Rozlan Bin Manan.

Sesi penyampaian cenderahati daripada Tuan Pengetua kepada perasmi program iaitu Puan Hajjah Kamariah Binti Salim.

Urusetia pendaftaran sedang menantikan para peserta untuk mendaftar seawal jam 7.00 pagi

Gambar para peserta lelaki sebelum memulakan aktiviti “Perang Badar: Aura Al-Qassam”

 

Gambar para peserta perempuan sebelum memulakan aktiviti “Perang Badar: Aura Al-Qassam”

 

Penyampaian cenderahati oleh Ustaz Sahrum Bin Samlan, Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam kepada penceramah program.

Ucapan Perasmian Penutup yang disampaikan oleh Puan Hajjah Kamariah Binti Salim, Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan

Loading

image_pdfimage_print