Kunjungan Hormat Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) W.P Labuan Ke Pejabat Pengarah Jabatan Pendidikan W.P Labuan

Pengarah JPWPL, Tuan Haji Abidin bersama Pengetua-pengetua Sekolah W.P Labuan

Labuan, 8 Januari 2024 – Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) W.P Labuan telah membuat kunjungan hormat ke pejabat Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan pada 3 Januari 2024. Rombongan 10 orang pengetua tersebut diketuai oleh Encik Ismail bin Abdullah, Pengetua SMK Pantai merangkap Yang DiPertua MPSM WP Labuan.

Ahli-ahli MPSM WP Labuan yang hadir ialah Tuan Hj Mohd Nizam bin Yasim (SMK Labuan), Puan Mary Anita Abah (SM St Anne), Puan Siti Aminah Zakaria (SMA MAIWP Labuan), Puan Norazita Md Nor @Shamsuri (SMK Taman Perumahan Bedaun), Encik Ag Rozlan Manan (SSN SMK Mutiara), Encik Wan Azman Wan Awang (SMK Rancha-Rancha), Encik A Zailani A Mumin (SM Sains Labuan) dan Puan Wong Tong Moi @Connie (SM St Anthony).

Tuan Haji Abidin bin Marjan Pengarah Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah menerima kunjungan hormat tersebut bersama tiga orang Timbalan Pengarah iaitu Encik Yahya bin Ahmad Puteh Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Tuan Haji Sawal bin Salleh Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah dan Puan Noraini binti Haji Sabudin Timbalan Pengarah Sektor Perancangan.

Selain daripada untuk sesi suaikenal dan ramah mesra, kunjungan hormat tersebut juga bertujuan untuk menerangkan peranan MPSM dalam memperkasakan pendidikan di WP Labuan, serta mendengar amanat yang disampaikan oleh Pengarah Pendidikan.

Encik Ismail (2 dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada Tuan Haji Abidin disaksikan semua Timbalan Pengarah

Encik  Ismail Abdullah menekankan tentang peranan MPSM W.P Labuan melaksanakan Task Force SPM yang mempunyai matlamat, objektif dan konsep seperti berikut.

MATLAMAT :

Menerajui pasukan guru mata pelajaran untuk meningkatkan atau melonjakkan prestasi matapelajaran SPM WP Labuan.

OBJEKTIF :

  1. Merancang strategi meningkatkan pencapaian mata pelajaran SPM peringkat WP Labuan
  2. Menyediakan panduan untuk pelaksanaan strategi meningkatkan pencapaian mata pelajaranSPM peringkat sekolah

KONSEP :

  1. Program Untuk Guru – Peningkatan kualiti PdP dan kemahiran teknik menjawab soalan.
  2. Program Untuk Murid – Peningkatan penguasaan teknik belajar dan teknik menjawab soalanSPM bagi kelompok murid lemah, sederhana dan cemerlang

Tuan Haji Abidin Marjan telah menyampaikan beberapa amanat penting untuk tindakan semua pengetua.

  1. Pengetua memberi fokus yang besar kepada Kepimpinan Instruksional dalam mengemudi sekolah
  2. Setiap Pengetua perlu tahu data dan maklumat berkaitan prestasi semasa sekolah.
  3. Sekolah perlu membuat persediaan melaksanakan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) dalam tempoh 3 bulan sehingga April 2024.
  4. Pengetua mengajar mata pelajaran sesuai dengan opsyen masing-masing.
  5. Setiap Pengetua perlu menggerakkan jentera pentadbiran dalam pengoperasian sekolah dan jangan bekerja bersendirian.
  6. Kehadiran murid ke sekolah mestilah mencapai purata sekurang-kurangnya 93% kerana pencapaian murid berkait langsung dengan kehadiran mereka ke sekolah.
  7. Persekitaran sekolah mesti sentiasa bersih, selamat dan selesa.

Kunjungan hormat ini menghasilkan persefahaman yang jelas antara hala tuju Pengarah dan kesepaduan tindakan dalam kalangan pengetua untuk mencapai matlamat yang ditetapkan serta memartabatkan pendidikan WP Labuan ke tahap yang lebih tinggi.

Berita Oleh : MPSM Labuan

Loading

image_pdfimage_print