MESYUARAT PIBG MEDAN ERAT KERJASAMA GURU, IBU BAPA DAN KOMUNITI SMK LABUAN

Barisan AJK PIBG SMK Labuan yang baharu sesi 2024

Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan (SMKL) telah berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (MAT PIBG) kali ke-26 pada hari Sabtu lalu, 18 Mei 2024.  Lebih 300 orang ibu bapa dan guru hadir bagi menjayakan majlis tersebut yang diadakan di Dewan Juara, SMK Labuan. Majlis yang bermula tepat pada jam 8 pagi itu dibanjiri hadirin seawal jam 7 pagi.

Majlis dimulai dengan ucapan alu-aluan oleh Yang dipertua PIBG lama SMK Labuan, Tuan Haji Md. Yussof bin Hj ChuChu. Di kesempatan itu, beliau menyatakan rasa Syukur dan terima kasih kepada pihak sekolah dan hadirin kerana telah memberikan sepenuhnya kepercayaan dan sokongan kepadanya dalam menerajui kepimpinan Persatuan Ibu-Bapa dan Guru.

Seterusnya, Pengetua SMK Labuan, Encik Mohd Nizam bin Yasim dalam ucapan perasmiannya menyeru ibu bapa agar memberikan kerjasama dan kepercayaan yang penuh kepada barisan guru dalam mendidik anak-anak mereka ketika berada di sekolah.

Beliau juga berharap ibu bapa dapat memberikan komitmen dan menyokong penuh semua aktiviti anjuran sekolah bagi menjayakan semua aktiviti sekolah ke arah kemenjadian murid SMK Labuan yang unggul. Sokongan itu juga dimaklumkan berupa bentuk sumbangan pembayaran PIBG di mana tidak sampai separuh daripada bilangan murid membuat bayaran sumbangan tersebut.

Beliau menjelaskan bayaran sumbangan itu diperlukan bagi tujuan membaik-pulih fasiliti sekolah seperti kipas, meja dan lampu yang mana pada masa ini pembaik-pulih dilakukan oleh guru-guru sendiri demi keselesaan murid. Beliau juga berterima kasih atas inisiatif ibu bapa yang turut menyumbang kipas elektrik kepada sekolah untuk kegunaan murid.

Pada akhir ucapannya, beliau memaklumkan bahawa faktor keselamatan di jalan raya dikawal selia oleh pegawai keselamatan sekolah. Oleh itu, ibu-bapa tidak perlu risau atas keselamatan anak-anak semasa berada di sekolah.

Ucapan perasmian oleh Pengetua SMK Labuan, Encik Mohd Nizam bin Yasim

Selain daripada itu, Majlis juga menjemput ASP Francisca Duliat, ASP Siasatan Perundangan, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Labuan selaku pegawai perhubungan sekolah untuk berucap dan berkongsi mengenai isu buli yang kian berleluasa di sekolah. Beliau berkongsi jenis-jenis buli dan juga memberi peringatan kepada ibu bapa agar tidak bertindak bersendirian tanpa melakukan prosedur yang betul bagi menangani isu buli.

Antara agenda utama Mesyuarat PIBG Kali Ke-26 adalah pembubaran Ahli Jawatankuasa PIBG yang lama serta pelantikan YDP yang baharu iaitu Puan Susanna Koh dan AJK PIBG Sesi 2024 serta perbahasan usul dan perkongsian idea untuk memajukan SMKL.

MAT PIBG kali ke-26 ini turut diserikan dengan cabutan bertuah. Hadiah utama bagi cabutan bertuah ialah sebuah peti sejuk berjenama Haier yang telah dimenangi oleh ibu pelajar yang bertuah iaitu Puan Misbah binti Taib.

Berita Oleh : SMK Labuan

Mesyuarat PIBG berlangsung
Para ibu bapa yang hadir
Pemenang hadiah utama cabutan bertuah

Loading

image_pdfimage_print