PROGRAM PERKAMPUNGAN BAHASA BITARA DAN JELAJAH BAHASA

Para pembentang Bersama Encik Yahya bin Ahmad Puteh Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran JPWPL dan En Ag Rozlan bin Manan, Pengerusi Pengelola Perkampungan Bahasa Bitara & Jelajah Bahasa 2024

WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN, 14 Ogos – Program Perkampungan Bahasa Bitara dan Jelajah Bahasa telah diadakan dari 25 hingga 26 Jun 2024 bertempat di Kompleks Darul Kifayah, Majlis Agama Islam WP Labuan. Program ini telah dirasmikan oleh Tuan Haji Abidin bin Haji MarjanK.M.N, B.S.K Pengarah, Jabatan Pendidikan WP Labuan. Program Perkampungan Bahasa Bitara dan Jelajah Bahasa ini ialah program yang diadakan khusus untuk calon-calon SPM di semua sekolah menengah dan program ini merupakan kolaboratif Bersama Bahagian Sukan, Kesenian dan Kokurikulum(BSKK) Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Jabatan Pendidikan WP Labuan manakala SSN SMK Mutiara pula menjadi pengerusi pengelola bagi program ini.

Perkampungan Bahasa Bitara dilaksanakan di bawah inisiatif #108 Pemartabatan Pendidikan Bahasa Melayu, dibawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM 2013-2025). Oleh sebab itu, pelaksanaan program ini selaras dengan hasrat KPM melahirkan murid yang holistik dan menyokong teras keempat daripada tujuh teras utama KPM iaitu mengelakkan keciciran pendidikan, masalah literasi dan merapatkan kesenjangan pendidikan. Program ini juga menekankan konsep pembelajaran luar bilik darjah yang menyeronokkan dan menggembirakan.

Matlamat utama penganjuran program ini adalah untuk membantu meningkatkan kecemerlangan murid dalam ujian bertutur Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Selain itu, program yang dilaksanakan juga bertujuan menyediakan peluang kepada murid-murid untuk meneroka pelbagai maklumat melalui aktiviti bertutur dalam Bahasa Melayu dan seterusnya meningkatkan keseronokan ketika melakukan aktiviti bahasa di luar bilik darjah. Selain itu juga, program ini diadakan sebagai sebahagian daripada aktiviti Task Force Bahasa Melayu SPM WP Labuan yang bermatlamat untuk meningkatkan pencapaian calon-calon SPM semua sekolah menengah khususnya dalam subjek Bahasa Melayu.

Program Perkampungan Bahasa Bitara dan Jelajah Bahasa ini telah berlangsung selama dua hari bermula pada 25 Jun sehingga 26 Jun 2024 dengan melibatkan semua sekolah menengah di Wilayah Persekutuan Labuan. Program ini telah berjaya menghimpunkan   seramai 388 orang murid dan 70 orang guru.  Antara aktiviti menarik yang telah dilaksanakan ialah sesi pembentangan bahan-bahan berkaitan tema ujian bertutur Bahasa Melayu SPM oleh para pembentang terpilih daripada setiap sekolah menengah. Di samping itu juga, para pembentang turut melakukan inovasi dan mempamerkan kreativiti masing-masing semasa menerangkan bahan-bahan yang dipamerkan. Bagi meningkatkan pemahaman murid-murid tingkatan 5 yang berkunjung ke setiap tapak pameran, murid-murid digalakkan untuk bersoal jawab dengan para pembentang mengikut aras pemikiran yang sesuai berdasarkan bahan pameran yang dipaparkan. Pada akhir Program Perkampungan Bahasa Bitara dan Jelajah Bahasa ini, semua sekolah menerima cenderahati dan hamper daripada pihak penganjur.

Sesungguhnya penganjuran program ini  dapat memberikan impak yang positif kepada murid dalam mempraktikkan cara berkomunikasi dengan baik dan bertatasusila. Seterusnya, kesan baik program ini adalah membina keyakinan diri murid semasa berkomunikasi dengan pelbagai pihak. Menerusi program yang dilaksanakan ini juga, murid dapat mengasah kemahiran bertutur dengan lebih berkesan dan lebih bersedia menghadapi peperiksaan yang bakal menjelang tiba. Oleh sebab itu, adalah diharapkan kesinambungan penganjuran program ini akan diteruskan agar dapat memberi impak kepada semua calon SPM yang berada di WP Labuan.

Aktiviti pembentangan oleh para pembentang daripada setiap sekolah menengah di WP Labuan
Sesi Penyampaian hadiah kepada penerima anugerah setiap sekolah
Peserta-peserta Program Perkampungan Bitara Bahasa dan Jelajah Bahasa
Berita Oleh : SMK Mutiara

Loading

image_pdfimage_print