MAHRAJAN AL QURAN SEKOLAH-SEKOLAH KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA (MQSS) PERINGKAT WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN TAHUN 2024M/ 1446H

Tuan Haji Abidin bin Marjan Pengarah Pendidikan WP Labuan sedang menyampaikan sijil dan piala kepada peserta Mahrajan Al-Quran
2 Ogos 2024: Majlis Penutupan Mahrajan Al Quran Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (MQSS) Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2024 telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan petang tadi di Sekolah Kebangsaan Pekan Dua.
 
Mahrajan Al-Quran merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Bahagian Pendidikan Islam, KPM yang bertujuan untuk mendidik jiwa dan rohani murid-murid menerusi pelbagai aktiviti dan pertandingan. Program ini juga merupakan platform terbaik dalam memupuk keyakinan dalam kalangan murid-murid selain untuk mengembangkan minat serta bakat mereka menerusi pertandingan-pertandingan seperti hafazan, tarannum dan kuiz.
 
Nilai-nilai murni yang dipupuk menerusi program Mahrajan Al-Quran amat penting untuk membentuk sahsiah murid-murid Islam serta kemenjadian mereka secara holistik selaras dengan tujuh teras utama Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu memberi penekanan kepada aspek ‘karamah insaniah’ melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti.
 
MQSS tahun ini telah dikelolakan oleh Sekolah Kebangsaan Pekan Dua, WP Labuan selama dua hari dengan penglibatan seramai 139 peserta yang mewakili 27 buah sekolah rendah dan menengah di wilayah ini. Sebanyak 3 acara yang dipertandingkan iaitu tilawah Al Quran sekolah rendah dan menengah, Hafazan sekolah rendah dan menengah, Qiraatus Sab’i wa Taranum sekolah menengah dan kuiz ilmu wahyu sekolah menengah.
 
Dalam ucapan perasmian penutupan oleh tuan Haji Abidin bin Marjan berkata, beliau cukup yakin penganjuran Mahrajan Al-Quran ini akan menjadi wadah yang terbaik bagi membangunkan generasi yang cemerlang dan unggul dalam pelbagai aspek menerusi penghayatan terhadap ajaran al- Quran.
 
“Di samping dapat memartabatkan lagi syair Islam, saya percaya banyak potensi dan kelebihan anak-anak kita dapat dicungkil dan diketengahkan supaya bakat dan kemahiran membaca Al Quran yang mereka miliki dapat dikembangkan dengan sepenuhnya.” Katanya lagi.
 
Semoga peserta yang mewakili WP Labuan ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan di negeri Perak Darul Ridzuan pada 27 – 30 September nanti beroleh kejayaan. InshaAllah.
 
Majlis tersebut turut dihadiri Encik Yahya bin Ahmad Puteh, Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembelajaran, Puan Noraini Haji Sahbudin, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan, Kamariah binti Salim Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Islam, guru besar, guru-guru dan ibu bapa.

Loading

image_pdfimage_print