Pendidikan Asas Kepada Pembangunan Manusia Dan Kemajuan Masyarakat

Labuan, 12 Ogos – Melalui pendidikan, seseorang individu menimba ilmu pengetahuan dan memperoleh kemahiran untuk menavigasi kompleksiti dunia ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Tuan Haji Abidin bin Marjan berkata pendidikan di sekolah bukan saja untuk mendapatkan ilmu tetapi kemampuan untuk menganalisis sesuatu ilmu yang diperoleh.

Katanya, pendidikan masa kini bukan saja tentang ilmu tetapi lebih kepada pengurusan bakat. Bagi mencapai matlamat itu, tiga(3) perkara digariskan untuk semua warga pendidikan khususnya di Wilayah Persekutuan Labuan. Antaranya guru harus memiliki kelayakan yang tinggi dan mampu menginspirasi serta membimbing murid dengan lebih baik. Guru juga perlu menguasai kemahiran digital. Disamping memastikan pembentukan jati murid yang kukuh dan berkeyakinan tinggi.

Beliau berkata demikian pada Majlis Aspirasi Guru Madani Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2024 pada sabtu lalu di Dewan Konvensyen, Ujana Kewangan.

Dalam ucapan perasmian, Tuan Haji Abidin menekankan 6 Inisiatif Kementerian Pendidikan dalam Reformasi Pendidikan Negara iaitu Penstrukturan Sistem Prasekolah, Intervensi Kurikulum, Sains Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET), Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuhkan Bahasai Inggeris dan Pendidikan Digital.
 
Pada majlis itu turut disampaikan Anugerah Tokoh Guru Madani kepada Puan Hajjah Dayang Damit Md. Yassin manakala Anugerah Kepimpinan Madani di anugerahkan kepada Puan Norismah Moin.
 
Turut disampaikan Anugerah Tokoh Kepimpinan Guru Besar dan Tokoh Kepimpinan Pengetua serta Anugerah Guru Inovasi.
 
Majlis itu dihadiri lebih 1,600 pendidik melibatkan guru sekolah rendah dan menengah di Labuan.

 

Loading

image_pdfimage_print