Program Sekolah Bitara SPM 2024 ‘Selangkah ke Menara Gading’ SMK Taman Perumahan Bedaun

Penyampaian anugerah kepada peserta paling aktif oleh Tuan Saat Bantalani kepada wakil murid Muhammad Syarieyhan

LABUAN – SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah mengadakan program sekolah bitara SPM 2024 ‘Selangkah ke Menara Gading’ dengan sasaran kepada calon SPM 2024 seramai 109 orang. Program ini telah diadakan selama 4 hari iaitu bermula 27 sehingga 30 Ogos 2024 bertempat di Dewan Sri Timbalai,Pusat Koreksional WP Labuan dan Dataran Bedaun, SMK Taman Perumahan Bedaun.

Menurut Puan Norazita binti Md Nor @ Shamsuri, objektif program ini dijalankan ialah membantu murid dalam kaedah dan teknik menjawab soalan SPM untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah, Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Sains dan Kimia.

Seterusnya,program ini juga dijalankan agar dapat membina keyakinan diri kepada murid SPM 2024 bahawa mereka boleh mencapai kejayaan jika berusaha tanpa mengenal erti jemu dengan cara menanamkan sikap positif, meningkatkan keyakinan diri, bekerjasama dan bersungguh-sungguh dalam pelajaran serta berwawasan.

Di samping itu, murid boleh mencapai keputusan yang lebih baik dalam SPM 2024 bagi meningkatkan prestasi dan penarafan sekolah khususnya dalam Standard Kualiti pendidikan Malaysia (SKPM). Malah,program ini juga dirangka untuk meningkatkan motivasi murid SPM 2024 agar sentiasa bersemangat tinggi dalam usaha mencapai kejayaan.

Terdapat pelbagai slot ataupun bengkel teknik menjawab telah dilaksanakan sepanjang 4 hari program tersebut berlangsung. Sepanjang program ini berlangsung, banyak perkongsian teknik menjawab soalan yang telah diberikan oleh penceramah-penceramah jemputan bagi mata mata Pelajaran yang terlibat.

Perkongsian Teknik menjawab SPM yang telah diberikan oleh para penceramah telah membantu murid untuk menggunakan peluang dan ruang yang ada bagi menjawab persoalan yang berkaitan dengan permasalahan yang berlegar di minda murid untuk menngetahui isi dan markah yang mencukupi dalam peperiksaan nanti.

Setiap slot bengkel teknik menjawab ini juga telah diisi dengan memberikan sijil penghargaan kepada peserta yang paling aktif dalam bengkel tersebut. Selain itu, unit bimbingan kaunseling sekolah juga telah mengambil peluang dengan mengadakan slot motivasi sebagai penyuntik semangat kepada smua calon SPM 2024 yang bakal menduduki SPM tidak lama lagi dengan menjemput penceramah dari Kota Kinabalu.

Majlis penutupan program ini telah disempurnakan oleh Tuan Saat Bantalani iaitu Timbalan Penguasa Penjara Pusat Koreksional Labuan.

Pada masa yang sama juga, pihak sekolah telah mengadakan sesi tandatangan Sijil Jalinan Rakan Strategik antara SMK Taman Perumahan Bedaun dan Pusat Koreksional WP Labuan, Jabatan Penjara Malaysia.

Setelah berakhirnya program ini, pihak sekolah khususnya akan terus membantu calon SPM 2024 tanpa henti untuk sama-sama memperolehi keputusan yang cemerlang sekali gus meningkatkan pencapaian SPM sekolah.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Semua peserta program Bitara Sekolah SPM 2024 bergambar bersama Timbalan Penguasa Penjara, Tuan Saat Penguasa Penjara dan Pengetua Puan Norazita

Loading

image_pdfimage_print