Labuan, 26 Oktober 2024 – Karnival Xploredel Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2024 telah berlangsung dengan tema Memperkasa Pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21) melalui DELIMa. Karnival ini memberi peluang kepada murid-murid sekolah rendah khususnya untuk mempamerkan kemahiran teknologi dan aplikasi terkini, selari dengan matlamat PAK-21.
Tiga orang murid dari Sekolah Kebangsaan Layang-layangan turut mengambil bahagian dalam pameran tersebut, iaitu Nur Dania Rizqin Abdullah (6 Sarjana), Fairy Lily Gabriel (5 Bestari) dan Nur Afiqah Solehah Muhammad Khairul (5 Sarjana). Di bawah bimbingan sepenuhnya Cikgu Victoria Mazuin Malarn, murid-murid ini telah berjaya menyampaikan pembentangan berkaitan amalan baik pembudayaan DELIMa dengan memanfaatkan tiga aplikasi digital termasuklah Google Interland, Arkib Negara dan Autodraw.
Penglibatan mereka ini telah menjadi satu penanda aras kepada murid SK Layang-layangan yang lain untuk mendorong minat mereka serta memupuk kreativiti dan kemahiran dalam menggunakan platform digital bagi memperkasakan lagi teknologi pendidikan dalam proses pembelajaran.
Berita oleh: SK Layang-Layangan