
Labuan, 7 Oktober 2025 – Kem Cendekia al-Quran telah menghimpunkan penyertaan murid dari tiga buah sekolah menengah yang menawarkan subjek Kelas Khas al-Quran (KKQ) iaitu SM MAIWPL, SMK Rancha-Rancha dan SMK Mutiara.
Seramai 246 murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 terlibat dalam kem ini dengan diiringi oleh Guru KKQ sekolah masing-masing. Kem Cendikia Al Quran diadakan di Dewan Darul Kifayah, dengan SMA MAIWPL selaku sekolah pengelola.
Menariknya, program ini dilaksanakan secara hibrid, berlintas langsung daripada SMK Benoni Papar melibatkan penyertaan dari tiga wilayah iaitu Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. Kem ini diselaras oleh Ustaz Mohd Fadzli Sheikh Abdul Rahim, Urus Setia Sektor Pendidikan Islam, yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran dan kejayaan penganjuran program ini.
Dalam ucapan perasmiannya, Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia, menzahirkan rasa syukur atas penganjuran program yang menyatukan murid KKQ dari pelbagai negeri dalam satu wadah ilmu dan tarbiah.
Beliau menegaskan bahawa Kem Cendekia al-Quran bukan sekadar platform hafazan atau bacaan semata-mata tetapi medan membina pemikiran Qurani, akhlak mulia serta kepimpinan berasaskan nilai al-Quran.
Beliau turut menyeru agar murid KKQ menjadi cerminan akhlak al-Quran di sekolah dan masyarakat, manakala guru pula terus memainkan peranan sebagai murabbi dan qudwah hasanah dalam membimbing generasi Qurani.
Beliau menutup ucapannya dengan harapan agar kem ini melahirkan Cendekiawan al-Quran yang berilmu, berakhlak dan berjiwa dakwah – generasi yang mampu berfikir dengan hikmah, beramal dengan ilmu, dan menyebarkan kebaikan di mana sahaja mereka berada.
Moga al-Quran terus menjadi cahaya penerang dalam kehidupan dan sumber kekuatan untuk membina generasi Madani yang berjiwa Rabbani.


