Labuan, 2 November 2025 – Satu kunjung hormat telah diadakan oleh pihak Darul Kifayah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (MAIWPL) ke Pejabat Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan pada jam 9.30 pagi sebagai tindak susul daripada kunjungan Jawatankuasa Darul Kifayah dan Dar Assaadah MAIWP pada 17 Oktober 2025 yang lalu.
Delegasi kali ini diketuai oleh En. Mohd Isa bin Ahris, Ketua Unit Pembangunan Insan MAIWP Cawangan Labuan dan En. Abd Fattah bin Abd Hafiz, Pengetua Kompleks Darul Kifayah MAIWP Cawangan Labuan.
Fokus utama pertemuan adalah perbincangan mengenai pelaksanaan program Road to Success, yang dirangka khusus untuk memperkasa pembangunan sahsiah dan akademik anak-anak asnaf dan yatim di bawah kelolaan MAIWPL melalui pendekatan berfasa.
Satu persetujuan bersama telah dicapai untuk melantik seorang pegawai kanan JPWPL sebagai Penasihat Road to Success versi Darul Kifayah Labuan (RTS DKL). Penasihat ini akan berkolaborasi dengan pihak pengurusan DKL bagi menilai semula kekuatan gandingan guru-guru tuisyen yang telah dilantik, demi memastikan keberkesanan program secara menyeluruh.
Kunjungan ini mencerminkan komitmen berterusan antara MAIWPL dan JPWPL dalam memperkukuh sinergi pendidikan, memperluas peluang pembelajaran berkualiti serta membentuk generasi pelajar yang berdaya saing, berakhlak mulia dan berilmu tinggi, selaras dengan aspirasi pembangunan ummah.








![]()

