1,354 CALON MENDUDUKI SPM DI LABUAN, JPNWPL SIAP SIAGA TUBUH PUSAT GERAKAN OPERASI PAYUNG.

Labuan, 25 November 2025 – Seramai 1,354 calon menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2025 di Labuan termasuklah calon sekolah swasta dan calon persendirian.
 
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan, Yahya Ahmad Puteh berkata calon berkenaan menduduki peperiksaan di 14 buah pusat peperiksaan di seluruh wilayah ini.
Seramai 110 petugas peperiksaan terdiri daripada guru dan pengawas peperiksaan dalam kalangan sukarelawan.
 
Yahya berkata KPM cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon serta petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk bencana dan penularan penyakit berjangkit.
Beliau menjelaskan KPM siap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan dengan mengaktifkan Operasi Payung bagi membantu calon dan petugas peperiksaan yang terkesan.
 
Ini melibatkan kerjasama dengan agensi NADMA, ATM, Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan dan Kementerian Kesihatan (KKM).
 
“Jabatan Pendidikan Labuan juga telah menubuhkan pusat gerakan yang kita letakkan di Sektor Pentaksiran Dan Peperiksaan untuk kita bersiap siaga dan juga melihat dari semasa ke semasa berkenaan dengan perubahan angin khususnya hujan di Labuan”, katanya kepada pemberita selepas meninjau perkembangan persiapan pelajar menduduki peperiksaan SPM di SMK Rancha-Rancha.
 
Sementara itu, calon peperiksaan dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri dengan segera, sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang ditetapkan disebabkan oleh bencana.
 
KPM komited untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan SPM tahun 2025 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.
 
Sumber Berita : FB BES Labuan

Loading

image_pdfimage_print