PERKUKUH BUDAYA QURANI DALAM KALANGAN MURID, LAHIRKAN GENERASI BERILMU DAN BERAKHLAK MULIA

Labuan, 03 Disember 2025 – Hampir 54 peratus murid Tahun Enam sekolah rendah di Labuan berjaya khatam Al-Quran pada tahun ini.
 
Selain itu, Labuan juga mencatat peningkatan ketara dalam penguasaan Al-Quran, iaitu 99 peratus murid Tahun Enam berbanding 79.48 peratus pada tahun sebelumnya.
 
Timbalan Pengarah Sektor kurikulum Pendidikan Islam dan Bahasa Arab, Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan, Azizan Muhammad berkata kejayaan itu atas usaha pelaksanaan pelbagai program atau intervensi ke arah generasi Qurani.
 
Beliau berkata guru bukan sahaja melahirkan murid cemerlang dalam akademik tetapi juga membentuk insan beradab, berakhlak mulia dan memiliki jati diri kukuh.
 
“Sebenarnya untuk penguasaan Al-Quran dan khatam Al-Quran ini memang peranan dari semua pihak daripada pihak guru, pihak pentadbir sekolah dan juga masyarakat untuk memastikan murid ini dapat khatam dengan baik maknanya sudah pastilah kerjasama semua pihak yang terlibat sangat diperlukan untuk memastikan murid ini dapat khatam sepertimana yang diharapkan”, katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Gema Al-Quran 2025.
 
Program itu sempena Majlis Khatam Al-Quran Sekolah-Sekolah Rendah Kementerian Pendidikan peringkat Labuan yang berlangsung di Dewan Auditorium Sekolah Antarabangsa Labuan.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Yahya Ahmad Puteh.
 
Sementara itu, Program Gema Al-Quran dirangka bagi menyemarakkan kecintaan terhadap Al-Quran serta memotivasikan anak-anak untuk menguasai bacaan dan seterusnya khatam Al-Quran.
Dengan pendekatan itu, generasi Qurani mampu menjadi peneraju masa depan negara yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia.
 
SUMBER BERITA : FB BES LABUAN

Loading

image_pdfimage_print