Labuan, 8 Mei 2026 – Kem Generasi Madani Al-Quran di Hati: Program Khatam Al-Quran Murid Tahun 6 telah berlangsung dengan jayanya di Surau Darul Kifayah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan pagi tadi.
Seramai 132 murid Tahun 6 dari semua sekolah rendah bersama 33 fasilitator yang terdiri daripada murid Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam WP Labuan (SMA MAIWPL) serta para asatizah telah menyertai program ini yang dikelolakan oleh SMA MAIWPL dengan kerjasama Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan WP Labuan.
Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif nasional Pecutan Khatam Al-Quran yang digerakkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sepanjang tahun 2026.
Antara objektif utama ialah membantu murid menyempurnakan bacaan 30 juzuk dengan bimbingan fasilitator.
Pengisian program merangkumi tasmik dan bacaan intensif bersama fasilitator SMA MAIWPL. Melalui pendekatan ini, murid bukan sahaja mencapai kemahiran membaca Al-Quran dengan baik tetapi turut diasuh dengan nilai disiplin, adab, dan tanggungjawab sosial.
Usaha ini selaras dengan Strategik 4 Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035, iaitu pembinaan sahsiah dan karektor murid.
Program ini membuktikan bahawa pendidikan Islam bukan sekadar memberi ilmu, tetapi membentuk kemenjadian murid yang holistik – berilmu, berakhlak, dan berjiwa sejahtera.
Adalah diharapkan melalui program ini, kadar murid khatam Al-Quran di Wilayah Persekutuan terus meningkat melepasi sasaran nasional yang ditetapkan KPM iaitu 54%. Program ini menjadi sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan murid celik Al-Quran dan menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup.















![]()

